Kumpulan media mengecam kenyataan Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer yang menggesa lesen penyiaran TV3 ditarik.

Badan Wartawan Malaysia (IOJ) menyifatkan kenyataan Rayer yang bercanggah dengan janji Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memastikan kebebasan media itu mengejutkan.

"Janji HARAPAN itu bererti untuk mengurangkan campur tangan kerajaan dalam hal-hal media.

"Kami menekankan bahawa sebarang tindakan terhadap media selepas penubuhan kerajaan akan menjejaskan kebebasan media, seperti yang terjadi dalam pentadbiran kerajaan sebelumnya," kata kumpulan wartawan itu dalam kenyataan media hari ini.

IOJ juga berharap agar kerajaan akan memegang janji untuk memastikan kebebasan media, selain menggesa agar Rayer lebih berhati-hati dengan kenyataannya.

Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) berkata kenyataan Rayer itu menimbulkan kebimbangan kerana ia bertentangan dengan janji HARAPAN sebelum ini berhubung kebebasan media.

"Geramm menggesa agar kenyataan itu ditarik balik oleh anggota parlimen berkenaan dan HARAPAN perlu segera memberi jaminan untuk menyokong kebebasan media.

"Tidak boleh ada dwistandard dalam hal ini, dan tidak boleh berkompromi dalam pendirian terhadap kebebasan media kerana ia adalah asas demokrasi yang kita semua perjuangkan dan tekankan dalam era baru untuk Malaysia.

"Semua media perlu bebas," katanya.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sebelum ini tampil menjelaskan bahawa kenyataan Rayer tidak mencerminkan pendirian kerajaan HARAPAN berhubung kebebasan media.

Lim juga menjelaskan bahawa Rayer patuh dengan pendirian HARAPAN untuk memperjuangkan kebebasan media.