Perdana Menteri China Li Keqiang mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia, demikian menurut laporan Xinhua.

Dalam perutusan tahniah itu, Li berkata Dr Mahathir telah banyak menyumbang terhadap pembangunan Malaysia dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, hubungan China-Malaysia serta kerjasama di Asia Timur.

Li berkata China memberi perhatian khusus terhadap hubungannya dengan Malaysia.

Kedua-dua negara adalah berjiran dengan menjalin persahabatan tradisional dan perkembangan hubungan dua hala kekal dalam momentum baik.

Li berkata beliau bersedia berkerjasama dengan Dr Mahathir dalam menggalakkan perkongsian strategik komprehensif dua hala untuk lebih memanfaatkan kedua-dua negara dan rakyat mereka.

Perdana Menteri Britain, Theresa May turut mengucap tahniah kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh.

Dalam catatan Twitter rasmi Perdana Menteri Britain, beliau berkata: “Tahniah saya kepada Dr Mahathir

@chedetofficial atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Ini adalah keputusan bersejarah dan saya tidak sabar untuk membina hubungan dua hala yang kukuh,” menurut catatan tersebut.

Manakala Duta Jepun di Malaysia, Dr Makio Miyagawa mengucap tahniah kepada Dr Mahathir, atas kemenangan Pakatan Harapan yang menakjubkan pada PRU14 dan pelantikannya semula sebagai perdana menteri.

Dalam surat ucapan tahniah kepada Dr Mahathir, katanya, beliau tidak sabar untuk bekerjasama meningkatkan hubungan dua hala serta berganding dengan kerajaan baharu untuk mencapai keamanan dan kemakmuran di rantau Asia Pasifik.

“Kerajaan dan rakyat Jepun tidak pernah melupakan ikatan mesra dengan Tun (Dr Mahathir) dan rakyat Malaysia. Saya sangat berharap untuk mengucapkan tahniah kepada anda secara bersemuka dalam masa terdekat ini,” katanya.

Dalam suratnya, Miyagawa berkata beliau amat kagum dengan semangat jitu Dr Mahathir kepada Malaysia dan rakyatnya seperti ditonjolkannya semasa kempen pilihan raya.

Beliau berkata terdapat pelbagai lapisan ikatan ekonomi yang rapat menerusi perdagangan dan pelaburan aktif serta pertukaran budaya antara rakyat Jepun dan Malaysia berdasarkan pendekatan terkenal Dr Mahathir menerusi Dasar Pandang Ke Timur.

“Sekali lagi izinkan saya menyampaikan ucapan tahniah kepada anda (Tun) dan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut menjamin akan memberi kerjasama sepenuhnya secara rasmi dan peribadi kepada kerajaan di bawah kepimpinan Dr Mahathir dan akan terus mengekalkan serta mempertingkatkan hubungan mesra dua hala antara iokyo dan Kuala Lumpur.

Dr Mahathir, yang memimpin Pakatan Harapan, mengejutkan politik negara apabila berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara selama 60 tahun.

Sementara itu, Dr Mahathir turut menerima ucapan tanah dari perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan o-cha.

Katanya, Thailand dan Malaysia, sebagai sebuah negara berjiran sudah sekian lama menjalinkan hubungan rapat dengan dipertingkatkan melalui pertukaran lawatan peringkat tertinggi serta hubungan antara rakyat dan rakyat sejak 60 tahun lepas.

“Hubungan antara kedua-dua negara semasa tempoh anda (Dr Mahathir) sebagai perdana menteri Malaysia sudah berkembang dalam banyak bidang, termasuk dengan penubuhan Suruhanjaya Bersama Untuk Kerjasama Dua Hala yang menjadi mekanisme utama dalam memacu hubungan dua hala sehingga sekarang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Thailand hari ini.

Kerajaan Filipina turut mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir yang disifatkan sebagai ‘sahabat lama’ Filipina, yang dilantik sebagai perdana menteri Malaysia, lapor agensi berita Filipina (PNA).

Jurucakap Presiden, Harry Roque, berkata pemilihan Dr Mahathir akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan Filipina dan Malaysia.

"Perdana Menteri Mahathir adalah sahabat lama Filipina dan mandat yang diterimanya adalah baik untuk hubungan yang lebih erat antara Filipina dan Malaysia," kata Roque dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Malaysia adalah negara dan rakan yang diyakini Filipina ‘kerana ia telah memainkan peranan konstruktif ke arah mencapai keamanan dan kestabilan di Mindanao.’

"Oleh itu, kami yakin bahawa perkongsian kukuh antara kedua-dua negara akan terus ditingkatkan pada tahun-tahun mendatang," kata Roque.

Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc, juga mengutus ucapan tahniah kepada Dr Mahathir, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Malaysia, Filipina dan Vietnam adalah sebahagian daripada 10 negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

- Bernama