Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib, Rosmah dilarang ke luar negara
Diterbitkan:  May 12, 2018 11:44 AM
Dikemaskini: 10:40 AM

Jabatan Imigresen Malaysia memberi pengesahan mereka kini menyenarai hitam nama Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Sri Rosmah Mansor.

Dengan keputusan itu bekas perdana menteri terbabit serta isterinya tidak boleh meninggalkan negara ini untuk apa-apa urusan pun, termasuk bercuti.

Kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia itu dibuat sejurus sebelum Najib mengeluarkan kenyataan mengenai rancangannya berehat seketika selepas mengharungi pilihan raya umum ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei lalu.

Dalam kenyataannya Najib yang juga pengerusi BN berkata beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas keputusan PRU ke-14 yang menyaksikan Pakatan Harapan (HARAPAN) menguasai Putrajaya.

Ia adalah kekalahan pertama BN - yang sebelum ini dikenali sebagai Perikatan - dalam sejarah negara.

Selain gagal mendapat majoriti di Dewan Rakyat, BN juga kehilangan sebahagian besar negeri di seluruh Malaysia.

Setakat ini BN hanya menguasai Dewan Undangan Negeri Perlis dan Pahang di Semenanjung Malaysia. Kelantan dan Terengganu pula ditadbir oleh PAS.

Semakan melalui proksi luar

Malam tadi orang ramai tertanya-tanya mengenai langkah masa depan Najib ekoran pelbagai perkembangan semasa negara.

Bermula dengan desakan beberapa ketua Pemuda Umno negeri supaya Najib meletakkan jawatan, spekulasi semakin menjadi panas apabila satu imej tangkap layar tersebar di media sosial.

Melalui gambar itu didapati ada dua nama bakal menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma di Jakarta, Indonesia.

Nama itu ialah Mr Najib Razak dan Mrs Rosmah Mansor.

Bagaimanapun sumber yang rapat dengan anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu menegaskan pasangan terbabit berkunjung ke Jakarta untuk bercuti.

Khabar itu juga mendorong sesetengah orang serta petugas media berkumpul di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Sumber itu menegaskan Najib dan Rosmah akan kembali semula ke negara ini selepas percutian mereka selesai.

Pagi tadi pula Malaysiakini melaporkan nama kedua-dua tokoh berprofil tinggi itu didapati disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Maklumat itu diperolehi melalui semakan menggunakan proksi luar negara.

Semakan melalui nombor kad pengenalan Najib (530723-06-XXXX) dan Rosmah (511210-05-XXXX) menunjukkan paparan keputusan cariah tertera ayat: "Sila rujuk ke pejabat imigresen terdekat".

Bagaimanapun Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali beberapa jam kemudian berkata nama Najib dan Rosmah tidak ada dalam senarai hitam pihaknya.

"Tidak ada sekatan pun setakat ini," katanya ringkas dalam pesanan WhatsApp kepada Malaysiakini.

 

 

Sementara itu dalam reaksi segeranya Najib berkata beliau menghormati arahan Jabatan Imigresen berkenaan.

"Saya telah dimaklumkan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia tidak membenarkan saya dan keluarga ke luar negara.

"Saya menghormati arahan tersebut dan akan bersama keluarga dalam negara," katanya.

Najib mengemudi BN menghadapi PRU paling getir pernah dihadapi gabungan itu dalam sejarah penubuhannya.

Lawan BN kali ini ialah HARAPAN yang diketuai tokoh yang bertanggungjawab membawa Najib menjadi perdana menteri, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hubungan kedua-dua mereka menjadi keruh dan menegang ekoran pembongkaran skandal firma pelaburan milik negara, 1MDB, yang turut menyaksikan beberapa kerajaan asing mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat yang ada kaitan dengannya.

Dr Mahathir mengangkat sumpah menjadi perdana menteri kelmarin.

Lihat Komen
ADS