Hishammuddin: Umno perlu pemimpin baru
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi tokoh paling kanan setakat ini menyatakan sokongan supaya parti itu menukar pemimpinnya.
Dalam ciapan di Twitter awal petang ini Hishammuddin berkata beliau sependapat dengan pendapat ahli dan rakyat bahawa Umno perlukan kepimpinan baru.
Bagaimanapun kata bekas menteri pertahanan itu proses berkenaan perlu berlangsung secara "tertib".
"Saya bersetuju dengan pendapat ahli dan rakyat bahawa Umno memerlukan kepimpinan baru dan ianya harus dilakukan dengan tertib supaya maruah parti boleh dikembalikan dan dan prinsipnya dijunjung," katanya.
Anggota parlimen Sembrong itu berkata, sementara proses berkenaan terlaksana anggota Umno diminta tidak bertindak dengan pengaruh emosi.
Menurut Hishammuddin perubahan itu perlu dilakukan demi masa depan serta kesatuan parti.
"Perkara ini telah pun saya sampaikan kepada setiap pucuk pimpinan termasuk sayap-sayap di dalam parti," katanya.
Lakukan yang terbaik
BN hilang majoriti di parlimen ekoran kalah kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRU ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei lalu.
Umno adalah parti teras dalam BN, diikuti MCA, MIC, Gerakan serta parti lain yang lebih kecil.
Untuk rekod presiden MCA, MIC dan Gerakan turut kalah kepada calon HARAPAN.
Bagaimanapun Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak terselamat di kerusi tradisinya, Pekan.
Semalam beberapa pemimpin lain dalam Umno turut Najib supaya berundur sama ada secara langsung atau tidak.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar misalnya mengisyaratkan keinginan itu melalui satu kenyataan terbuka.
Meskipun berkias, desakan itu dapat dilihat pada kenyataan Khairy yang berkata, Umno "mesti melalui perubahan yang besar dalam parti".
"Kita mesti lakukan perubahan yang tidak pernah kita fikirkan. Yang kita perlukan hari ini ialah kejujuran yang mendalam, keberanian yang luar biasa dan pengorbanan yang pedih.
Kenyataan dengan nada sama - tetapi lebih berterus terang - kemudian dikeluarkan beberapa pemimpin muda Umno.

Exco Pemuda Umno, Datuk Arman Azha Abu Hanifah pula mendesak Najib segera melepaskan jawatannya bagi memastikan proses transformasi parti berjalan lancar.
“Kami menuntut dan mendesak Najib Razak segera melepaskan jawatan presiden Umno demi kepentingan parti," katanya.
Harian Metro pula melaporkan Ketua Umno Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias juga berkongsi pandangan sama.
Malah Jalaluddin turut mendesak Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berundur.
Hishammuddin yang juga sepupu kepada Najib kemudian meminta semua pihak bersabar untuk memberikan ruang supaya perubahan dapat dilaksanakan.
"Percayalah, saya akan lakukan yang terbaik demi parti dan negara yang tercinta. Semoga Allah SWT memelihara Umno," katanya.

