Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Abdullah Saidol menyifatkan kahbar angin anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan parti komponen BN Sarawak lain akan menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai "mengarut".

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi HARAPAN Sarawak Chong Chieng Jen yang tidak bersetuju dengan khabar itu, menyifatkan ia sama seperti Umno menyertai gabungan itu di peringkat nasional.

Abdullah berkata, PBB adalah tulang belakang kepada BN negeri itu dan ia akan mengekalkan integriti politiknya dengan tidak menjadi "katak".

"(PBB) adalah kerajaan Sarawak yang dipilih. Saya ingin mengingatkan mereka (HARAPAN), Sarawak adalah salah satu pihak dalam perjanjian yang membentuk Malaysia," katanya.

"PBB dan rakan kami dalam BN Sarawak telah melalui sejarah politik yang panjang dan matang dan kami berkembang selaras dengan evolusi kemodenan negeri.

"Ia tidak seperti parti politik HARAPAN di sini yang dikuasai pemimpin mereka dari Semenanjung," katanya (gambar) dalam kenyataan.

Beliau turut menyangkal PBB menjadi terdesak ekoran pencapaian merosot pada pilihan raya umum lalu.

Keputusan PRU ke-14 menunjukkan HARAPAN mendapat 10 kerusi Parlimen berbanding enam pada PRU lalu, sementara BN kalah enam daripada 25 kerusi yang dimenanginya sebelum ini.

Abdullah turut berkata Ketua Menteri Datuk Seri Abang Johari Openg secara jelas menyatakan kerajaan negeri sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat yang baru.

"Kami akan memastikan kerjasama itu tidak akan menjejaskan kepentingan Sarawak dan ia mesti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS