Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Utusan bakal tampil berbeza
Diterbitkan:  May 12, 2018 5:38 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Akhbar milik parti pembangkang, Utusan Malaysia, akan terus beroperasi di bawah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tetapi dengan beberapa penyesuaian serta rombakan.

Pengerusi Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata corak laporan dan persembahan kandungan akhbar itu akan diubah supaya menjadi lebih matang.

“(Penerbitan) Utusan Malaysia akan diteruskan dengan kaedah berbeza supaya ia terus kekal dengan pelan dan strategi yang akan dilaksanakan,” katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Utusan antara akhbar harian di negara ini yang sering bersikap kritis kepada HARAPAN. Kira-kira 50 peratus daripada saham syarikat itu dimiliki Umno.

Langganan akhbar itu untuk versi cetak dilaporkan menalami penurunan ketara dan menjejaskan perolehan mereka. Bagaimanapun kemerosotan itu bukan saja dialami oleh Utusan, sebaliknya turut melanda akhbar lain.

Bagaimanapun dengan kejayaan HARAPAN menawan Putrajaya daripada BN melalui pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu, kedudukan Umno serta syarikat akhbar berkenaan menjadi berbeza dari biasa.

Mohamad Fatmi berkata beberapa susunan semua organisasi dan kemas kini strategi akan dilaksanakan pada syarikat itu tidak lama lagi.

Beliau yang juga Ketua Umno Kota Bharu, Kelantan berkata rombakan melibatkan anggota lembaga pengarah syarikat juga akan dilakukan.


Baca Zam dedah Utusan sedang 'sakit'


“Saya sebagai pengerusi perlu mempunyai sokongan daripada pengurusan dan kesatuan sekerja bagi meneruskan kelangsungan syarikat ini.

"Ini kerana, lembaga pengarah hanya boleh fikir hala tuju sahaja, akhirnya pelaksanaan dasar itu mesti dilaksanakan oleh pihak pengurusan dan semua pekerja.

“Saya tidak boleh komen lanjut sama ada berlaku rombakan atau penambahan ahli lembaga pengarah atau tidak. Semuanya akan diputuskan nanti,” katanya.

Mohamad Fatmi berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan tertutup bersama anggota Umno Kota Bharu di Kota Bharu Kelantan.

Untuk rekod Mohamad Fatmi ialah setiausaha politik kepada Datuk Seri Najib Razak.

Najib sudah meletakkan jawatannya sebagai presiden Umno serta pengerusi BN berkuat kuasa serta-merta petang ini.

Lihat Komen
ADS