Paling Popular
Terkini

Presiden AMANAH Mohamad Sabu yang diumumkan sebagai menteri pertahanan hari ini menganggap mandat yang diberikan kepadanya itu sebagai satu cabaran besar.

Mohamad yang ditemui selepas sidang media pengumuman menteri kabinet baru oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau sudah mempunyai perancangan awal bagi pengurusan dan pentadbiran kementerian itu.

"Ini satu cabaran yang besar kepada saya, namun, saya akan membuat kajian awal serta mengadakan pertemuan dengan semua pemimpin kanan kementerian ini.

"Saya ingin tahu apa yang berlaku dalam kementerian ini dan perkara yang perlu dilakukan serta cadangan yang bakal dikemukakan." katanya kepada pemberita selepas tamat sidang media berkenaan di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya hari ini.

Dalam sidang media berkenaan, Dr Mahathir turut menamakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan dan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri.

Mengulas lanjut, Mohamad antara lain turut mahu meneliti semua laporan berkaitan tanah-tanah milik angkatan tentera yang didakwa sudah tergadai.

"Saya akan cuba dapatkan laporan berhubung tanah-tanah angkatan tentera yang dikatakan tergadai. Saya akan meneliti perkara itu,” tambahnya.

ATM beri sokongan penuh

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberikan komitmen dan sokongan penuh Mohamad Sabu selaku menteri pertahanan baru.

Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (gambar) berkata beliau amat yakin dengan penggemblengan fikiran, idea, usaha dan iltizam antara menteri pertahanan baru itu dengan ATM.

Beliau berkata warga dan keluarga ATM akan turut mendapat manfaatnya selain pertahanan negara yang kukuh serta utuh.

“ATM sebagai sebuah organisasi yang disandarkan harapan ini harus bergerak ke arah itu untuk memantapkan ketumbukan ATM.

“Saya mengucapkan tahniah kepada beliau (Mat Sabu) kerana menjadi menteri pertahanan yang baru,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS