Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Jangan jadi BN 2.0', NGO kecam langkah lompat parti
Diterbitkan:  May 12, 2018 11:36 PM
Dikemaskini: 3:44 PM

Banyak pihak menyatakan bantahan terhadap amalan lompat parti oleh wakil rakyat, berikutan keputusan pilihan raya umum ke-14.

Gabungan NGO Bersih menegaskan amalan itu bertentangan dengan prinsip pilihan raya, yang mana pengundi memilih calon berdasarkan parti, prinsip dan menifesto mereka.

"Jika wakil rakyat mahu mengubah kedudukan mereka berkenaan parti yang mereka wakili, mereka harus letak jawatan bagi membolehkan pengundi memilih wakil baru mereka," kata Bersih dalam kenyataan hari ini.

Bersih juga menyentuh soal Sarawak dan berkata pengundi di negeri itu telah memberikan mandat kepada BN pada pilihan raya negeri (PRN) 2016 untuk mentadbir negeri.

"Sebarang perubahan kedudukan atau gabungan di negeri itu perlu dijalankan melalui proses pilihan raya," katanya.

Langkah tidak bijak

Sementara itu, Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menyifatkan penyertaan wakil rakyat BN ke dalam kerajaan HARAPAN sebagai sesuatu yang tidak bijak dan tidak boleh dibenarkan.

"Reformasi sebenar yang perlu dimulakan HARAPAN untuk menyelamatkan Malaysia tidak boleh dengan penyertaan wakil BN, kerana merekalah yang membenarkan dan menyokong regim bawah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang akhirnya berjaya ditumbangkan HARAPAN.

"Mereka bersubahat dalam salah tadbir negara di bawah BN, dan inilah sebab mengapa reformasi sangat diperlukan sekarang," katanya (gambar).

Ramkarpal juga memberi amaran penyertaan wakil rakyat BN dalam HARAPAN akan menghakis keyakinan pengundi gabungan itu sendiri.

"Pilihan dan kepercayaan pengundi (terhadap HARAPAN) amat penting dan perlu dihormati.

"Saya yakin kita sudah ada bilangan dan wibawa yang cukup dan tidak perlu mencapai majoriti dua pertiga di Parlimen melalui penyertaan wakil rakyat BN," katanya.

Beliau menggesa kerajaan baru HARAPAN mencontohi pendirian antilompat kerajaan Pulau Pinang yang memperkenalkan undang-undang antilompat parti pertama di Malaysia pada 2012.

Menurut Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012, ADUN perlu melepaskan kerusinya jika meletakkan jawatan, dibuang parti atau tidak lagi menjadi anggota parti ketika beliau bertanding, dengan beberapa pengecualian.

'Jangan jadi BN 2.0'

Dalam satu surat terbuka kepada pemimpin HARAPAN, Pengerusi NGO hak asasi Engage, Thomas Fann berkata rakyat tidak mahu melihat HARAPAN menjadi "BN yang baru".

Beliau membangkitkan dakwaan beberapa parti komponen BN Sabah, iaitu Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), yang dikatakan akan meninggalkan BN untuk menyertai HARAPAN.

"Ada juga khabar angin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) juga sedang menimbang langkah yang sama," katanya.

Katanya lagi, ia adalah satu pengkhianatan kepada rakyat jika HARAPAN membenarkan parti BN menyertai HARAPAN, atau wakil rakyat mereka menyertai salah satu parti komponen HARAPAN.

"Kami ingin kerajaan baru, bukan BN dengan nama lain tetapi dianggotai orang sama yang kami tolak pada PRU ke-14," katanya.

Lihat Komen
ADS