Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis nafi serbu apartmen dikaitkan keluarga Najib
Diterbitkan:  May 13, 2018 10:16 AM
Dikemaskini: 3:38 AM

Pihak polis menafikan pasukan itu menyerbu sebuah apartmen mewah di Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur petang semalam yang dikaitkan dengan keluarga bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim memberitahu Bernama bahawa pihak polis hanya memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di apartmen berkenaan.

Katanya siasatan dibuat selepas menerima laporan daripada Pemuda Parti Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mendakwa berlaku pemindahan barangan mewah dipercayai milik isteri bekas perdana menteri.

"Pihak polis telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan rapi dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan bukannya melakukan serbuan.

"Laporan berita Reuters dan beberapa portal adalah palsu dan tidak benar," katanya dipetik sebagai berkata.

Reuters semalam memetik dua pegawai kanan polis sebagai berkata polis menyerbu apartmen yang didakwa dimiliki keluarga Najib bagi mencari dokumen sensitif yang dibimbangi kerajaan akan dibawa keluar dari negara.


Baca: Laporan: Polis serbu apartmen dikaitkan dengan keluarga Najib


Laporan itu berkata 20 anggota dan pegawai polis membuat serbuan berikutan laporan polis bahawa sebuah kenderaan kerajaan memindahkan kotak berisi beg tangan berjenama dan barangan lain milik Datin Seri Rosmah Mansor ke apartmen berkenaan.

Mazlan berkata pihaknya juga telah merakam keterangan beberapa anggota polis bantuan di apartmen itu bagi membantu siasatan.

Beliau berkata akan membuat laporan polis berhubung berita palsu itu.

Lihat Komen
ADS