Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khaled: ADUN BN sertai HARAPAN tak bermoral
Diterbitkan:  May 13, 2018 1:39 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Pengerusi BN Johor menyifatkan langkah tiga ADUN BN yang mengumumkan menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN) semalam sebagai tidak bermoral.

"Walaupun tindakan tersebut merupakan satu kebebasan yang harus dihormati oleh parti dan tidak seharusnya dihalang secara keras dan tegas, namun parti beranggapan ia adalah satu tindakan yang tidak bermoral dan tidak seharusnya dilakukan disebabkan oleh beberapa perkara," kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam suatu kenyataan media hari ini.

Semalam tiga ADUN daripada Umno mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya memenangi Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu.

Mereka ialah ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari, ADUN Endau, Alwiyah Talib dan ADUN Sedili, Rasman Ithnain.

Khaled juga berkata sistem demokrasi Malaysia semakin matang bergerak ke arah sistem dua parti yang memerlukan semak dan imbang.

"Malangnya, tindakan ini (keluar parti) adalah sesuatu yang terkebelakang dan sangat tidak selari dengan aspirasi ini.

"Lebih-lebih lagi, apabila kita amat sedar bahawa mana-mana parti yang kalah dalam PRU sangat diharapkan menjadi faktor timbal balik atau melakukan semakan, bagi memastikan parti yang memenangi pilihan raya dapat berfungsi dengan baik dan mengotakan janji mereka.

Beliau juga berkata tindakan ADUN BN itu sebagau satu pengkhianatan kepada harapan, usaha keras dan kepercayaan semua pihak.

"Ini termasuklah kepimpinan parti asal, para pendukung, penyokong serta para pengundi yang telah mengundi dan memilih seseorang pemimpin tersebut di mana mereka telah bekerja, berkempen dan mengundi di bawah identiti parti yang diwakili oleh calon tersebut," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS