Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CEO Air Asia: Maafkan saya tunduk tekanan BN
Diterbitkan:  May 13, 2018 4:24 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Ketua Pegawai Eksekutuif (CEO) Kumpulan AirAsia Tony Fernandes meminta maaf kerana penampilannya dalam kempen pengerusi BN ketika PRU14 ketika Datuk Seri Najib Razak menaiki pesawat penerbangan bertemakan manifesto 'Hebatkan Negaraku'.

Fernandes berpendapat langkah itu boleh menyenangkan hati kerajaan, yang memberi tekanan terhadap dirinya serta AirAsia disebabkan langkah syarikat itu menawarkan diskaun tiket penerbangan pada hari pilihan raya 9 Mei dan sokongan terbuka Tan Sri Rafidah Aziz untuk Pakatan Harapan.

Selain manifesto 'Hebatkan Negaraku’, pesawat Air Asia juga tertera logo 'dacing' BN.

"Tanpa berfikir panjang saya berfikir dengan membuat video itu yang saya rasakan agak neutral, berfakta dan pesawat dari Kota Kinabalu itu akan menyenangkan kerajaan serta melindungi para pekerja kami dan yang lebih penting, intipati yang membolehkan lebih daripada 80 juta orang terbang setiap tahun dengan tambang murah.

"Mendapat tekanan hebat, saya terpaksa akur. Ia tidak betul, saya akan sentiasa menyesalinya...Saya memohon maaf sekali lagi kerana menyebabkan kedukaan dan kelukaan ini,"  kata beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pada 11 Mei lalu, ahli parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) Syed Saddiq Abdul Rahman menyifatkan jutawan tersebut sebagai wira yang tidak didendang.

Beliau berkata Fernandes menerima tekanan kerana tindakan serta keengganannya memecat Tan Sri Rafidah Aziz sebagai pengerusi syarikat berkenaan kerana lantang mengkritik perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Pemimpin muda BERSATU itu berkata bos AirAsia sebenarnya menerima tekanan untuk berbuat demikian.

Menurut Syed Saddiq, Fernandes antara orang pertama yang membantu Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau "dihukum kerana bercakap benar kepada kekuasaan".

"(Fernandes) sekali lagi menjadi wira ketika AirAsia menawarkan diskaun tiket penerbangan dan menambah penerbangan semasa tempoh pilihan raya.

"Ini memalukan beberapa orang dalam lingkungan Najib. Ia menjadi lebih buruk apabila Parti Warisan Sabah (WARISAN) memuat naik poster mengucapkan terima kasih atas langkah ini kerana ia bermakna lebih ramai penyokong WARISAN dapat terbang kembali ke kampung halaman untuk mengundi.

"Ia tidak berhenti di situ. Beliau enggan memecat Rafidah selepas beliau secara terbuka mengkritik Najib Razak walaupun Tony ditekan untuk berbuat demikian.

"Tindakan itu datang dengan harga dan beliau perlu membayarnya," kata Syed Saddiq.

Lihat Komen
ADS