Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kabinet Dr M masih besar, kata pakar perlembagaan
Diterbitkan:  May 14, 2018 11:56 AM
Dikemaskini: 4:19 AM

Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad masih besar walaupun perdana menteri mengumumkan tidak akan melantik lebih daripada 30 menteri, kata seorang pakar perlembagaan.

Dr Abdul Aziz Bari berkata, jumlah itu tidak sepadan dengan jumlah 30 juta rakyat Malaysia, tetapi mempunyai jumlah menteri lebih kurang sama dengan India dan Australia yang jauh lebih besar.

“Lantik kabinet besar ini amalan BN dan 'Mahathir 1.0'.

“Saya fikir Mahathir 2.0 kenalah berbeza. (Kabinet besar) Itu gaya lama,” katanya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi dari DAP.

Mahathir semalam menjelaskan prosedur Pakatan Harapan dalam pelantikan menteri dengan menjanjikan kabinetnya tidak akan mempunyai lebih daripada 30 menteri, berbanding 35 ketika pentadbiran BN.

Beliau berkata kaedahnya melantik sepuluh menteri utama terlebih dulu - dan membuat penambahan kemudian - seperti yang dilakukan perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pada 1957.

Mahathir sudah menamakan tiga menteri pertama, iaitu Lim Guan Eng (menteri kewangan), Mohamad Sabu (menteri pertahanan) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (menteri dalam negeri).

Katanya, di era BN, keperluan politik musuh politik mereka itu menyebabkan kabinet menjadi besar.

“BN ini ada banyak parti dan semua nak jadi menteri,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu memberi amaran peningkatan belanja mengurus berbanding pembangunan dan kemungkinan “krisis pencen”.

Katanya, jika tidak dibendung, kerajaan akan terbeban membayar pencen menteri-menteri sedia ada, termasuk kakitangan-kakitangan mereka di masa depan.

“Cuba senaraikan berapa peruntukan untuk seorang menteri supaya rakyat tahu dan buat penilaian mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS