Di balik tanda-tanda penggugurannya, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini tetap masuk ke pejabatnya di Putrajaya seperti biasa.

Media melaporkan beliau tiba kira-kira jam 8.30 pagi di Jabatan Peguam Negara (AGC) di Presint 4, yang telah dikerumuni wartawan lebih awal.

Hari ini adalah hari kerja pertama selepas Pakatan Harapan merampas Putrajaya dari tangan BN, Rabu lalu.

Apandi ketika ditanya pemberita mengesahkan beliau masuk untuk berkhidmat seperti biasa.

“Ya (saya masuk bekerja).

"Malah saya sekarang di pejabat buat kerja-kerja biasa,” beliau dipetik sebagai berkata oleh The Star.

Apandi bagaimanapun dilapor enggan mengulas komen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ketua-ketua agensi kerajaan akan disiasat.

Mahathir kelmarin berkata buat masa ini tiada peguam negara berkhidmat untuk kerajaan HARAPAN.

Menurutnya langkah itu dilakukan selepas kerajaan berpendapat individu berkenaan terbabit dalam salah laku, atau membuat keputusan yang tidak betul dalam isu 1MDB.

Apandi Ali dilantik perdana menteri BN sebelum ini Datuk Seri Najib Razak bagi mengisi jawatan itu sejak Julai 2015.

Apandi, 68, yang sebelum ini aktif dalam Umno dan pernah berkhidmat sebagai hakim dilantik menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail, 62, ketika siasatan mengenai skandal 1MDB giat dijalankan.

Mengenai skandal 1MDB, Apandi mengesahkan Najib tidak terbabit dalam sebarang salah laku dan tiada tindakan undang-undang akan diambil.

Ia berbeza dengan pendirian HARAPAN yang mendesak siasatan menyeluruh dilakukan ke atas Najib serta 1MDB.