Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rangkuman: Situasi negeri 5 hari lepas PRU
Diterbitkan:  May 14, 2018 12:21 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Lima hari berlalu sejak Malaysia melakar sejarah baru - tumbangnya BN selepas enam dekad menguasai tampuk pemerintahan negara di tangan Pakatan Harapan (HARAPAN).

HARAPAN menang besar - kekal mentadbir Pulau Pinang dan Selangor serta menubuhkan kerajaan negeri di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Selain itu, walaupun tidak mendapat majoriti mudah, HARAPAN turut menubuhkan kerajaan di Perak, Kedah dan Sabah.

PAS juga tidak kurang cemerlang - mengekalkan Kelantan dan menang di Terengganu, serta menjadi 'kingmaker' di Perak dan Kedah.

Dalam kes Kedah, walaupun kurang satu kerusi daripada majoriti mudah, HARAPAN masih mampu menubuhkan kerajaan kerana menang kerusi paling banyak dan mendapat persetujuan Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Percaturan politik di Perak dan Sabah juga menyaksikan Perak akhirnya jatuh ke tangan HARAPAN, sementara situasi lebih 'cair' di Sabah, apabila kuasa beralih daripada BN kepada rakan HARAPAN, Parti Warisan Sabah (WARISAN).

BN hanya kekal di dua negeri - Perlis dan Pahang. Sarawak sedia berada di bawah BN selepas pilihan raya negeri pada 2016.

Berikut adalah rangkuman keadaan setiap negeri pasca-PRU setakat ini:

SELANGOR - HARAPAN

HARAPAN mengekalkan kemenangan dengan majoriti besar iaitu 51 kerusi DUN (PKR 28, DAP 13, AMANAH 5, BERSATU 5), manakala BN mendapat empat dan PAS satu.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (DUN Bukit Antarabangsa) mengangkat sumah Jumaat lalu.

Ini merupakan penggal kedua Azmin sebagai MB selepas mengambil alih daripada Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2014.

Setakat ini barisan exco kerajaan negeri belum disahkan.

JOHOR - HARAPAN

Johor yang menjadi tempat lahirnya Umno jatuh ke tangan HARAPAN, yang mendapat 35 kerusi DUN (PKR 25, DAP 13, AMANAH 9, BERSATU 8), manakala BN mendapat 20 kerusi (Umno 17, MIC 2, MCA 1) dan PAS satu.

Setiausaha BERSATU Johor Datuk Osman Sapian (DUN Kempas, dua dari kanan) mengangkat sumpah sebagai menteri besar Sabtu lalu.

Setakat ini barisan exco kerajaan negeri belum disahkan.

KEDAH - HARAPAN

HARAPAN menguasai Kedah dengan 18 kerusi (PKR 8, DAP 2, AMANAH 3, BERSATU 5), sementara PAS menang 15 kerusi dan BN tiga kerusi.

Pengerusi HARAPAN Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (DUN Jitra) mengangkat sumpah sebagai menteri besar Jumaat lalu.

Ini merupakan kali kedua beliau memegang jawatan itu. Selepas PRU 2013, beliau menjadi menteri besar BN tetapi disingkirkan pada 2016.

Setakat ini barisan exco kerajaan negeri belum disahkan.

MELAKA - HARAPAN

HARAPAN menang di Melaka dengan 15 kerusi DUN (PKR 3, DAP 8, AMANAH 2, BERSATU 2), sementara BN menang 13 kerusi.

Pengerusi HARAPAN Melaka Adly Zahari (DUN Bukit Katil, kiri) mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada Sabtu lalu.

Setakat ini barisan exco kerajaan negeri belum disahkan.

NEGERI SEMBILAN - HARAPAN

HARAPAN menang di negeri Sembilan dengan 20 kerusi DUN (PKR 17, DAP 11, AMANAH 2), dan BN menang di 15 kerusi.

Pengerusi HARAPAN Negeri Sembilan Aminuddi Harun (DUN Sekamat) mengangkat sumpah sebagai menteri besar Sabtu lalu.

Setakat ini barisan exco kerajaan negeri belum disahkan.

PULAU PINANG - HARAPAN

Di sini HARAPAN juga menang besar dengan 37 daripada 40 kerusi (PKR 14, DAP 19, AMANAH 2, BERSATU 2). BN menang dua kerusi, manakala PAS satu.

Pengerusi DAP Negeri Chow Kon Yeow (DUN Padang Kota, gambar) mengangkat sumpah sebagai ketua menteri hari ini, menggantikan Lim Guan Eng yang dinamakan sebagai menteri kewangan.

Setakat ini barisan exco kerajaan negeri belum disahkan.

PERAK - HARAPAN

Selepas DUN tergantung ekoran HARAPAN yang mendapat 29 kerusi (PKR 4, DAP 18, AMANAH 6, BERSATU 1), BN dengna 27 dan PAS tiga, Perak akhirnya pergi kepada HARAPAN selepas dua ADUN BN menyatakan sokongan kepada HARAPAN, menjadikan bilangan kerusinya kepada 31 dan mendapat majoriti mudah.

Pengerusi HARAPAN dan BERSATU Perak Ahmad Faizal Azumu (DUN Chenderiang) mengangkat sumpah sebagai menteri besar Sabtu lalu.

Setakat ini barisan exco kerajaan negeri belum disahkan.

PAHANG - BN

BN mengekalkan kerajaan di Pahang dengan 25 kerusi DUN (Umno 24, MIC 1) sementara HARAPAN mendapat sembilan (PKR 3, DAP 6) dan PAS lapan.

Datuk Seri Adnan Yakob (DUN Pelangai) dijangka sekali lagi menjadi menteri besar dan mengangkat sumpah pada Rabu ini. Beliau sudah mengetuai pentadbiran negeri selama empat penggal.

Setakat ini barisan exco kerajaan negeri belum disahkan.

PERLIS - BN

BN kekal di Perlis dengan sepuluh kerusi (Umno 9, MCA 1), manakala HARAPAN dengan tiga kerusi dan PAS dua.

Datuk Ismail Kassim (DUN Tambun Tulang) dicalonkan sebagai menteri besar. Beliau adik kepada Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Majlis angkat sumpah menteri besar dijangka diadakan minggu lalu, tetapi tergendala selepas timbul spekulasi wakil rakyat BN akan melompat.

KELANTAN - PAS

PAS mengekalkan penguasaan di negeri Pantai Timur itu dengan penuh selesa, mendapat 37 kerusi DUN berbanding BN yang hanya mendapat lapan. HARAPAN tidak memenangi sebarang kerusi di sini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Ahmad Yakob (DUN Pasir Pekan) mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada Khamis lalu.

Setakat ini barisan exco kerajaan negeri belum disahkan.

TERENGGANU - PAS

PAS merampas kembali Terengganu daripada BN selepas menang 22 daripada 32 kerusi. HARAPAN juga tidak menang sebarang kerusi di negeri ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Ahmad SAmsuri Mokhtar (Rhu Rendang) mengangkat sumpah sebagai menteri besar Khamis lalu.

Beliau telah melantik 10 ADUN PAS sebagai exco kerajaan negeri. Mereka adalah:

Saiful Bahari Mamat (Paka), Dr Alias Razak (Bukit Tunggal), Mohd Nor Hamzah (Bukit Payung), Dr Azman Ibrahim (Jabi), Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang), Ariffin Deraman (Alur Limbat), Hanafiah Mat (Cukai), Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), Dr Mamad Puteh (Kuala Berang) dan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Kota Putera).

SABAH - WARISAN-HARAPAN

Sabah pada mulanya mengalami keadaan tergantung apabila bilangan kerusi BN sama dengan WARISAN dan rakan kerjasamanya, iaitu 29.

Berikut adalah pecahan kerusi kedua-dua pihak: BN - Umno 17 kerusi, PBS 6, PBRS 1, Upko 5, manakala WARISAN mendapar 21 kerusi, dan rakannya DAP (6) dan PKR (2). Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mendapat dua kerusi.

Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman (DUN Sungai Sibunga) yang pertama mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada Khamis lalu, selepas STAR memutuskan untuk menjadi penyokong BN.

Namun selepas siri lompat parti dan keluarnya PBRS dan Upko daripada BN, Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal (DUN Senallang) mendakwa memiliki majoriti iaitu 35 daripada 60 kerusi.

Musa berkata dirinya dan anggota kabinet baru yang dilantiknya tidak akan meletakkan jawatan.

SARAWAK - BN

Setakat ini Sarawak kekal bersama BN. Pada PRN 2016, BN menang besar iaitu 72 daripada 82 kerusi DUN. Parti komponen terbesarnya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), menang 45 kerusi.

Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan sejumlah pihak dalam BN sedang menimbang kedudukan mereka dalam gabungan itu selepas kejayaan HARAPAN pada PRU lalu. BN Sarawak terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratk Progresif (PDP)/

Lihat Komen
ADS