Tekanan ke atas ketua hakim negara pula
Selepas peguam negara dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kini giliran Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif pula ditekan meletakkan jawatan.
“Ketua Hakim Negara, Tan Sri Raus, pada hemat saya, wajar letak jawatan serta merta sebelum diambil tindakan ditribunalkan atau dipecat!” kata Hanipa Maidin.
Pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata pelantikannya “berselirat dengan kontroversi yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan”.
“Bagi pandangan saya, beliau hanya sesuai jadi CJ (ketua hakim) bagi era BN, bukan era Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan, insya-Allah akan buat satu reformasi ke atas badan kehakiman.
“Dan saya tak nampak CJ sedia ada masih sesuai untuk berkhidmat dalam persekitaran baru itu nanti,” kata anggota parlimen Sepang itu yang juga seorang peguam.
Selepas HARAPAN membentuk kerajaan baru minggu lalu, Mahathir memberi amaran bahawa ketua-ketua agensi kerajaan akan disiasat.

