Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan bahawa kawalan ketat polis di laluan masuk ke kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Taman Duta di Kuala Lumpur sejak semalam adalah sebagai langkah keselamatan.

“Pihak polis hanya membuat pemantauan keselamatan terhadap beliau (Najib).

“Polis ingin memastikan tiada pihak tertentu yang cuba melakukan apa-apa perkara yang tidak diingini,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan polis mula mengawal laluan keluar masuk ke kediaman peribadi Najib.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa pula dipetik sebagai berkata ia dilakukan bagi mengawal keselamatan kediaman terbabit.

Tinjauan juga mendapati lima anggota polis ditempatkan di simpang masuk ke kediaman bekas perdana menteri itu.

Polis turut menempatkan balai polis bergerak selain membuat pemeriksaan ke atas setiap individu mahupun kenderaan yang ingin masuk ke laluan itu.