Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Irwan Serigar dipindahkan ke JPA, kontrak dipendekkan
Diterbitkan:  May 14, 2018 5:43 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah telah dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuatkuasa serta mereta, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

Ali berkata Irwan, yang juga pengerusi 1MDB, tidak lagi dibenarkan menjalankan tugasnya sebagai ketua setiausaha perbendaharaan.

Beliau menambah bahawa kontrak Mohd Irwan Serigar sebagai ketua setiausaha perbendaharaan telah dipendekkan dan akan berakhir pada 14 Jun.

Ali dalam satu kenyataan hari ini, berkata Mohd Irwan Serigar dilantik secara kontrak sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan mulai 7 Mac tahun lepas (2017) hingga 6 Mac 2019.

"Mulai 14 Mei 2018 hingga 13 Jun 2018, pegawai (Mohd Irwan Serigar) ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam dan tidak dibenarkan menjalankan tugas sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan atau apa-apa yang berkaitan dengan Kementerian Kewangan,” kata Ali.

Sementara itu, Bernama melaporkan ketika cuba mendapatkan reaksinya pada tengah hari di perkarangan Perbendaharaan, Presint 2, di Putrajaya hari ini berikutan desas-desus berhubung isu perjawatannya, beliau bagaimanapun tidak memberi sebarang reaksi.

Kebiasaannya Mohd Irwan Serigar adalah seorang yang mudah didekati media.

Mohd Irwan Serigar memasuki bangunan Perbedaharaan kira-kira11.45 pagi selepas menghadiri mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam mengenai pelaksanaan 10 janji 100 hari kerajaan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Presint 8.

Pada kira-kira 1 tengah hari beliau meninggalkan bangunan Kementerian Kewangan itu dengan mengepit sebuah fail lalu beredar dengan keretanya tanpa bercakap kepada wartawan.

Lihat Komen
ADS