Malaysiakini
BERITA

'Anwar perlu masa sebelum aktif politik'

Anne Muhammad

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Mei 2018, 1:13 tengahari

Datuk Seri Anwar Ibrahim memerlukan masa untuk berehat sebelum bergiat aktif semula dalam politik, jelas Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah yang berkata tiada tempoh masa untuk perkara tersebut.

“(Soal) pentadbiran tu saudara Anwar memang biasa menjadi pentadbir sampai jadi pemangku perdana menteri, namun (kali ini) biar dia baik dulu dan kerajaan baru biarlah angkat sumpah setia pada negara.

“Biar proses itu berlaku sebelum ambil bahagian aktif, tengoklah berapa lama,” katanya kepada pemberita di Hospital Rehabilitasi Cheras sebentar tadi.

Timbalan Perdana Menteri itu turut berkata biarlah peralihan kuasa itu berlangsung dengan aman.

“Biarlah berlakunya peralihan kuasa dengan aman damai dan sebab kita alami pemerintahan dah 60 tahun berilah masa healing proses,” kata Wan Azizah mengulas soalan wartawan mengenai tahap kesihatan Anwar dan waktu beliau boleh bergiat aktif dalam bidang politik.

Anwar sebelum ini mengalami kecedaraan kecil dibahagian bahu setelah kenderaan Jabatan Penjara Sungai Buloh yang membawanya terlbat dalam kemalangan.

Anwar kini masih meneruskan rawatan fisioterapi bagi kecederaan di bahu kanannya di di Hospital Rehabilitasi Cheras setelah menjalani pembedahan pada November lalu.

Rabu ini, Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat mengenai pembebasan Anwar.

Persidangan Lembaga Pengampunan itu akan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan turut dihadiri Peguam Cara Negara II, Datin Zauyah Be T Loth Khan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa anggota lain.

Sejurus Anwar dibebaskan, suatu majlis bagi menyambut pembebasan Anwar akan diadakan.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.