Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan agar semua prosedur berkaitan prosiding Lembaga Pengampunan Diraja untuk ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dimuktamadkan pada Rabu.

Datuk Pengelola Dijaya Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan malam ini berkata Yang di-Pertuan Agong telah berkenan dan berpuas hati dengan semua prosedur berkaitan prosiding oleh Lembaga Pengampunan Diraja mengenai perkara itu yang sepatutnya ditetapkan pada esok (Selasa) pukul 11 pagi.

“Walau bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri telah memohon supaya mesyuarat tersebut ditangguhkan pada Rabu (16 Mei) pukul 11 pagi.

“Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya perkara ini dimuktamadkan pada Rabu menjelang Ramadan,” katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana petang ini berkata pembebasan Anwar ‘sedikit lewat’ berikutan proses pengampunan yang perlu diikuti secara undang-undang.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata beliau telah dimaklumkan oleh Dr Mahathir pagi tadi bahawa kesemua persiapan berkaitan dokumentasi telah dilakukan.

"Hanya sebelah petang diberitahu ada penundaan dan selepas itu Dr Mahathir bercakap melalui telefon dengan Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri kepada Anwar, memberi jaminan mesyuarat akan bersidang pada Rabu," katanya kepada pemberita selepas melawat Anwar di Hospital Rehabilitasi Cheras, lewat petang ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata parti itu akan mengadakan program sambutan sebaik sahaja Lembaga Pengampunan bersetuju dengan syor pengampunan dan pembebasan Anwar.

Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, dijadual dibebaskan pada 8 Jun.
 

Lihat Komen
ADS