Kerajaan Kelantan mengekalkan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebagai timbalan menteri besar dengan pelantikannya ke jawatan itu hari ini.
Mohd Amar yang juga anggota Dewan Negeri (ADUN) Panchor mengangkat sumpah jawatan berkenaan di hadapan pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Mohamad FaiIz Petra jam 11.15 pagi ini, sekali gus menjawab persoalan siapa bakal mengisi kerusi tersebut.
Istiadat berkenaan berlangsung di Istana Kota Lama, Kota Bharu.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang mengangkat sumpah Khamis lalu.
Terdahulu timbul khabar angin mengatakan naib presiden PAS itu berkemungkinan digugurkan daripada barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Bagaimanapun semalam, Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menafikan spekulasi tersebut.
Sementara itu barisan Exco kerajaan negeri Kelantan menyaksikan empat muka baru dan enam muka lama dikekalkan termasuk Mohd Amar.
Barisan Exco muka baru tersebut terdiri daripada ADUN Selising, Tuan Saripuddin Tuan Ismail; ADUN Kadok, Azami Mohd Noor; ADUN Kijang, Dr Izani Husin dan ADUN Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat.
Selain itu, enam muka lama dikekalkan sebagai Exco.
Selain Mohd Amar, mereka ialah ADUN Temangan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan; ADUN Meranti, Datuk Nassuruddin Daud; ADUN Pengkalan Pasir; Datuk Hanifa Ahmad; ADUN Kemahang, Datuk Md Anizam Abdul Rahman dan ADUN Demit, Mumtaz Mat Nawi.
