Hadi mahu proses pertukaran PM tidak susahkan rakyat
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan parti pemerintah Pakatan Harapan (HARAPN) supaya tidak menyusahkan rakyat dalam isu peralihan kuasa perdana menteri.
Abdul Hadi berkata proses peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dilakukan mengikut prosedur yang betul dan baik serta tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Anwar dibebaskan hari ini daripada hukuman penjara atas perkenan Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan kepadanya.
Pengampunan diraja dilaporkan akan memansuhkan sekatan bagi Anwar menyertai politik selama lima tahun selepas dibebaskan, bermakna bekas ketua pembangkang itu boleh menyertai poltik serta merta, menyebabkan ramai yang mengatakan Anwar boleh mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir.
"Kita harap proses itu tidak menimbulkan kesusahan kepada rakyat melalui proses yang betul, baik dan menjamin. Tetapi yang penting Islam mesti menguasai negara… itu saya nak lihat kerana majoriti masyarakat Malaysia adalah orang Islam.
"PAS akan bersama pemimpin yang mempertahankan Islam dan kita akan cuba pertahan. Sebarang langkah yang menjejaskan umat dan Islam, PAS akan berdiri teguh mempertahankannya," katanya kepada media selepas Himpunan Kesyukuran Kerajaan Rakyat Terengganu, di Stadium Sultan Mizan, malam semalam.
Kira-kira 10,000 orang menghadiri perhimpunan itu yang diadakan bagi meraikan kemenangan PAS menawan semula Terengganu daripada BN.
Turut hadir, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, barisan kepimpinan exco negeri dan penceramah bebas terkenal Ustaz Azhar Idrus.
Abdul Hadi juga berharap kerajaan pusat dapat menghormati konsep kerajaan federalisme yang dipratikkan oleh negara ini.
"Kita telah terima pilihan rakyat yang memilih PH sebagai pemerintah. Kena terimalah sebab rakyat dah pilih begitu.
"Cuma kita harap konsep federalisme ini mestilah dihormati. Kalau kita dah terima pusat jadi kerajaan, mereka (pusat) kena terima jugalah kerajaan negeri kerana pilihan rakyat Terengganu juga begitu," katanya.
Sebelum ini, PAS melalui kepimpinan pusat dan negeri konsisten dalam memperjuangkan isu royalti minyak dan akan terus menuntut janji daripada kerajaan PH untuk memulangkan 20 peratus hasil minyak kepada negeri pengeluar seperti yang dinyatakan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
- Bernama

