Konvoi 130 teksi raikan pembebasan Anwar di istana
Keadaan sunyi dan terkawal di luar Pintu 2 Istana Negara tiba-tiba menjadi riuh-rendah serta sesak apabila konvoi 120 teksi eksekutif dan bajet tiba dengan membunyikan hon kenderaan masing-masing.
Keadaan itu bukan sahaja menarik perhatian petugas media yang telah pun berkampung di situ sejak awal pagi, tetapi juga kalangan pekerja di pejabat berdekatan apabila kebanyakan mereka dilihat meluru ke tingkap pejabat untuk menyaksikan ‘kemeriahan’ sambutan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Tidak kurang juga yang turun ke tepi jalan merakamkan gelagat penyokong-penyokong Anwar melalui telefon pintar masing-masing. Mungkin jarang sekali kawasan ini menyaksikan kemeriahan seperti ini.
Pengerusi Suara Harapan Pemandu Teksi Se-Malaysia Zaidi Maaini ketika ditemui wartawan berkata pemandu teksi seluruh Malaysia menyokong penuh kerajaan Pakatan Harapan dan menyambut baik keputusan pembebasan Anwar.
Beliau berharap pemerintahan Pakatan Harapan akan dapat membela nasib pemandu-pemandu teksi yang didakwanya telah lama ditindas oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kami berharap anggota Kabinet Pakatan Harapan dapat menyokong nasib pemandu-pemandu teksi yang ditindas dengan perkhidmatan e-Hailing yang tidak ada kata putus daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan kerajaan BN.
“Kami juga berharap agar e-Hailing dapat dikaji semula oleh kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.
Turut hadir ialah anggota Parlimen Wangsa Maju Datin Paduka Tan Yee Kew bersama kira-kira 60 penyokong PKR daripada PKR cawangan Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak.
- Bernama

