Paling Popular
Terkini

Majlis Presiden Pakatan Harapan pada mesyuaratnya esok dijangka membincangkan kedudukan dan peranan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerajaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, peranan Anwar buat ketika ini adalah pada peringkat parti memandangkan dirinya bukan seorang ahli Parlimen.

“Apa peranan Anwar? Itu esok saya akan adakan mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN.

“Ia adalah majlis yang melantik kita (ketua parti) semua. Jika ada perubahan melibatkan Anwar, majlis itu akan tentukan,” katanya pada sidang akhbar di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Minggu lalu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata bahawa Anwar akan dilantik untuk kedudukan yang setara dengan statusnya.

Anwar dibebaskan hari ini setelah mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong atas kesalahan meliwat tiga tahun lalu.

Pada Januari lalu, HARAPAN mengesahkan bahawa Anwar akan menjadi perdana menteri selepas Mahathir menyerahkan tampuk pemerintahan kepadanya.

Ditanya mengenai perasaan Mahathir berhubung pembebasan Anwar, beliau berkata:

“Ya... Dahulu dikatakan saya yang masukkan dia dalam tahanan, sekarang saya bebaskan dialah,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS