Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya Shamsul Iskandar Mohd Akin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyertai perhimpunan di tempat larangan iaitu di perkarangan Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin melepaskan Shamsul Iskandar selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadapnya di akhir kes pembelaan.
Shamsul Iskandar yang juga naib presiden PKR didakwa menyertai perhimpunan itu yang diadakan di tempat larangan iaitu dalam perkarangan Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya antara 12 tengah hari dan 1.15 tengah hari, pada 22 Jun 2013.
Shamsul Iskandar, 43, dituduh mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam manakala OKS diwakili peguam Mohd Haijan Omar.
Kira-kira 30 penyokong dan kenalan Shamsul Iskandar yang duduk di galeri awam mengucap 'Alhamdulillah' selepas hakim membacakan keputusan itu.
Sebanyak lima saksi pihak pendakwaan dan 14 saksi pihak pembelaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 11 Dis 2013.
Pada 13 April lalu, lima individu termasuk aktivis Adam Adly Abd Halim dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen sama daripada pertuduhan serupa iaitu menyertai perhimpunan di perkarangan Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya, lima tahun lepas.
