Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah beri hak penjagaan Equanimity kepada AS
Diterbitkan:  May 16, 2018 5:06 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Mahkamah Daerah California Tengah mengarahkan kapal persiaran mewah Equanimity yang dikaitkan dengan jutawan Jho Low diserahkan kepada kerajaan Amerika Syarikat dan dibawa ke negara itu.

Hakim Dale S Fischer berkata pihak yang menuntut kapal akan menyerahkan hak penjagaan dan kawalan, manakala pihak yang terlibat dalam kes itu harus mencapai kesepakatan mengenai cara membawa kapal itu ke AS.

Bagaimanapun, perintah itu kekal selama 30 hari bagi memberikan masa kepada pihak yang menuntut mencabar keputusan berkenaan, katanya dalam penghakiman tertulis bertarikh semalam.

Penghakiman itu susulan permohonan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) pada 27 Mac untuk mengambil hak penjagaan kapal itu.

Ia juga mendakwa bahawa krew Equanimity yang dimiliki oleh Low Taek Jho atau Jho Low tidak boleh dipercayai untuk membawa kapal itu ke Amerika Syarikat walaupun di bawah perintah mahkamah.

Dalam penghakiman bertulisnya yang dilihat oleh Malaysiakini, Fischer berkata pihak yang penuntut kapal telah mengemukakan beberapa hujah undang-undang terhadap permohonan tetapi berkata, "tidak ada yang meyakinkan".

Antara lain, beliau berkata perintah mahkamah itu tidak akan melanggar kedaulatan undang-undang Indonesia meskipun hujah pihak yang menuntut adalah sebaliknya.

Ini kerana Mahkamah Daerah Jakarta Selatan telah mengarahkan polis Indonesia mengembalikan kapal tersebut kepada pihak yang menuntut, setelah ditahan di pantai Bali pada 28 Februari lepas.

"Perintah itu memerlukan pihak menuntut menyerahkan kapal layar tanpa perlu kerajaan AS melakukan penyitaan di perairan Indonesia.

"Penuntut boleh mematuhi perintah itu, atau tidak, bergantung kepada akibat yang mereka mahu," katanya.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan bahawa pihak yang menuntut Equanimity berhasrat untuk merayu terhadap keputusan Fischer.

DOJ merampas Equanimity sebagai sebahagian daripada saman berkaitan 1MDB.

Ia mendakwa bahawa kapal bernilai AS$ 250 juta itu dibeli dengan wang yang disalahgunakan dari 1MDB dan kemudian disalurkan menerusi sistem kewangan AS.

Ia mendakwa kapal itu dimiliki jutawan kelahiran Pulau Pinang Jho Low menerusi beberapa perantara termasuk pemilik berdaftar Equanimity (Caymans) Ltd.

DOJ dan Equanimity Ltd bersetuju untuk menjual kapal itu sementara kes itu berjalan di mahkamah namun berbeza pendapat di mana dan bagaimana jualan harus dilakukan.

Untuk rekod, Low mendakwa tuduhan terhadapnya bermotifkan politik, manakala 1MDB mengatakan tiada wangnya diselewengkan.

Menurut kapal pengesan MarineTraffic, Equanimity kali terakhir dilihat berlabuh di pesisir Lombok, Indonesia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS