Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejabat AG, SPRM, SPR antara institusi akan diteliti

Jawatankuasa Reformasi Institusi hanya mempunyai 60 hari untuk mengemukakan cadangan mereka kepada kerajaan baru melalui Majlis Penasihat yang dibentuk.

Dalam sidang akhbar pertama jawatankuasa itu sejak pembentukannya semalam, mereka berkata beberapa institusi penting yang akan diteliti termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), SPRM, badan kehakiman, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan pasukan polis.

Ini amat penting kerana institusi utama di negara ini mengalami "krisis awam" dan "hakisan kebebasan yang telah merosakkan tadbir urus yang baik seperti pemisahan kuasa dan peraturan undang-undang, kata jawatankuasa itu.

"Terdapat keperluan untuk mengukuhkan kedaulatan undang-undang. Bagaimana? Dengan mengukuhkan institusi serta semak dan imbang yang menyokong sistem demokrasi.

"Pada masa ini kita mempunyai institusi AG dan pendakwa raya. Kita juga perlu melihat dalam badan kehakiman dan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

"(Juga) agensi penguatkuasaan termasuk pasukan polisi dan kita ada SPRM dan SPR (yang sangat) sangat penting juga," kata bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk KC Vohrah pada sidang akhbar yang diadakan di Ilham Tower di Kuala Lumpur hari ini .

Sidang media itu turut dihadiri empat anggota jawatankuasa lain, iaitu Hakim Mahkamah Rayuan yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Mah Weng Kwai, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji, Pengerusi Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Datuk Ambiga Sreenevasan dan profesor undang-undang Universiti Malaya, prof Shad Saleem Faruqi.

Lihat Komen
ADS