Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PERKASA rayu k’jaan tak lantik bukan Melayu jadi menteri kewangan

Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) merayu kerajaan baru supaya tidak melantik pemimpin bukan Melayu mengisi jawatan menteri kewangan.

Pemangku presiden PERKASA Datuk Ruhanie Ahmad berkata, ini kerana, terdapat banyak institusi berkaitan orang Melayu di bawah kementerian itu.

“PERKASA menolak sebarang usaha lantik bukan Melayu jadi menteri kewangan sebab di bawah Kementerian Kewangan ada banyak institusi, agensi dan jabatan-jabatan berkaitan dengan kesejahteraan bumiputera.

Ruhanie turut menyatakan kebimbangan agenda bumiputera akan terancam sekiranya ia tetap berlaku.

“Sekiranya diletakkan bukan Melayu, kami bimbang agenda Malaysian Malaysia akan diterapkan dalam dasar dan polisi Kementerian Kewangan dan saya rasa ini menjadikan masa depan sosioekonomi bumiputera terancam,” katanya.

Ahad lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai pemegang portfolio Kementerian Kewangan dalam kabinet kerajaan baru.

Selain Lim, Dr Mahathir turut mengumumkan pelantikan dua jawatan menteri kanan iaitu Presiden AMANAH Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri.

Ruhanie turut berkata pihaknya akan tetap mengambil pendirian berkecuali dan dalam masa yang sama konsisten menyatakan pendirian untuk membela bumiputera.

“PERKASA kekal berkecuali, bagaimanapun PERKASA akan menegur jika didapati kepentingan Islam, Melayu, bumiputera diabaikan disebabkan perubahan dasar-dasar kerajaan baru ini.

“PERKASA juga akan sentiasa menyokong tindakan-tindakan dan dasar-dasar baru kerajaan HARAPAN yang memberi kebaikan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Lihat Komen
ADS