Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PBB kaji semula kedudukan dalam BN - KM Sarawak
Diterbitkan:  May 16, 2018 7:45 PM
Dikemaskini: 12:40 PM

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kedudukan parti itu dalam Barisan Nasional (BN) akan ditentukan selepas konsultasi bersama tiga lagi parti komponen BN Sarawak iaitu SUPP, PRS dan PDP.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak turut memberi bayangan untuk membentuk ‘gabungan parti-parti Sarawak’ bagi menjaga kepentingan rakyat Sarawak.

“Ya saya tidak sebut tentang BN tetapi saya ada sebut tentang ‘united coalition of Sarawak-based parties’ (gabungan parti-parti Sarawak) sebagai platform kami dan saya perlu rundingi rakan-rakan kami di Sarawak.

“Keluar BN? Terserah kepada anda untuk mentafsirnya tetapi saya perlu rundingi parti komponen yang lain dalam BN, dengan kata lain kami (PBB) akan kaji semula kedudukan kami selepas konsultasi dengan parti komponen yang lain,” katanya.

Pengerusi BN Sarawak itu berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis KerjaTertinggi (MKT) PBB selama hampir tiga jam di Kuching, hari ini.

Ketika ditanya jangka masa keputusan itu akan diumumkan, Abang Johari berkata beliau akan memanggil satu mesyuarat bersama parti komponen (BN Sarawak) terlebih dahulu.

Ditanya sama ada kerajaan Sarawak akan berdepan masalah mendapat peruntukan daripada kerajaan Persekutuan, Abang Johari berkata perkara tersebut tidak timbul kerana semuanya sudah tertakluk di dalam perlembagaan.

“Seperti saya katakan tadi kami akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan tetapi kami tidak akan sertai Pakatan Harapan (yang mentadbir di peringkat kerajaan Persekutuan),” katanya.

Beliau berkata PBB berazam untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan bahawa ia akan terus berkhidmat kepada rakyat Sarawak dengan sepenuh hati untuk menunaikan janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Negeri 2016.

BN Sarawak memenangi 19 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dengan 13 daripadanya dimenangi calon PBB.

Sementara itu, Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing, ketika bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di sini, berkata PRS akan memainkan peranan sebagai parti pembangkang.

Beliau berkata partinya menghormati kehendak pengundi Malaysia yang memilih Pakatan Harapan dan parti gabungannya untuk mentadbir Malaysia bagi lima tahun akan datang.

Masing mengingatkan Pakatan Harapan bahawa dalam pilihan raya negeri pada 2016, rakyat Sarawak telah bersuara yang mereka mahu Barisan Nasional mentadbir Sarawak.

BN Sarawak mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS