Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar mahu pastikan 'Umno 2.0' tak terlalu berpengaruh

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan memastikan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) di bawah teraju Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melaksanakan agenda pembaharuan.

"Beliau (Dr Mahathir) yang berkuasa. Tugas saya adalah bagi memastikan beliau terus berkuasa, selagi ia mengikut agenda pembaharuan.

"Saya sudah memberitahu beliau bahawa saya akan membantu dengan apa saja cara - terutamanya bagi memastikan tidak terlalu banyak pengaruh watak Umno 2.0," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara eksklusif di rumahnya di Kuala Lumpur.

Anwar turut menjelaskan bahawa beliau akan menyampaikan pendirian PKR dalam isu-isu kerajaan tanpa mengganggu kerja kerajaan.

Anwar bagaimanapun tidak menjelaskan apa yang dimaksudkannya dengan "Umno 2.0", namun beliau menggunakan istilah itu sekali lagi apabila ditanya tentang penglibatan bekas menteri kewangan Tan Sri Daim Zainuddin dalam kerajaan ketika ini.

Istilah Umno 2.0 sebelum ini digunakan oleh penyokong HARAPAN yang bimbang dengan penyertaan anggota Umno dalam HARAPAN selepas parti itu kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Sementara itu, Anwar optimis apabila ditanya sama ada Dr Mahathir boleh menunaikan janji untuk membuat agenda pembaharuan dalam negara.

"Beliau menunjukkan perubahan yang ketara, beliau sendiri sudah melaksanakan beberapa pembaharuan.

"Namun perlukan pasukan (daripada semua Pakatan Harapan) bagi memastikan agar kita bergerak seiring dengan beliau, memberi sokongan kepada beliau, dan sentiasa tegas bagi memastikan agenda pembaharuan tidak dipinggirkan," katanya.

Ditanya bagaimana beliau akan memastikan Dr Mahathir dan kerajaan baru berada di landasannya ketika berada di luar negara, Anwar menjelaskan rancangan untuk ke luar negara hanya untuk tempoh singkat.

"Paling lama sebulan," katanya.

Terdahulu, dalam sidang media, beliau menjelaskan rancangannya untuk memberikan kuliah di luar negara sebagai cara untuk berehat daripada aktif dalam politik selepas dibebaskan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS