Ulasan Malaysiakini

Menaruh harapan isu Islam pada k'jaan HARAPAN

Omar Mohamed  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad ditanya seorang wartawan tentang pendirian kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) terhadap kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), beliau kelihatan sedikit keliru.

Ia berlaku pada Pada 14 Mei lalu. Lantas perdana menteri menjawab, kedudukan institusi yang penting itu bergantung kepada laporan yang diterima kerajaan.

Jakim pernah menjadi sasaran segelintir masyarakat yang tidak senang dengan pendirian badan itu terhadap isu-isu fiqh tertentu sehingga menimbulkan polemik.

Juga isu berkaitan penerbitan buku tertentu yang disifatkan tidak sesuai diedarkan di negara ini.

Lebih drastik, muncul suara-suara nakal yang melontarkan idea agresif bahawa negara ini tidak perlu kepada badan seperti Jakim. Bagi mereka urusan agama tidak boleh dikawal oleh pemerintah. Begitulah lebih kurang justifikasi yang digunakan walaupun ia amat longgar dan mudah dipatahkan.

Menghukum Jakim hanya berdasarkan polemik yang pernah berlaku adalah amat naif. Selain itu, apakah alasan-alasan lain yang wajar mendorong idea drastik begitu?

Kemungkinan besar kelompok pembantah tidak tahu-menahu apakah peranan Jakim dalam membantu kemajuan Islam dan umat Islam di negara ini, termasuk menyelaraskan pentadbiran urusan agama antara negeri-negeri dalam Malaysia.

Juga penyaluran peruntukan kewangan dari kerajaan pusat.

Perlu pengalaman luas

Berbalik kepada insiden yang berlaku ketika sidang media yang saya nyatakan tadi.

Saya sendiri tertanya-tanya apakah sudah ada ura-ura begitu di kalangan pimpinan HARAPAN? Apakah HARAPAN mempunyai pendirian tertentu terhadap Jakim dan institusi-institusi agama Islam yang lain - seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan lain-lain?

Saya menanti reaksi rasmi lanjut kerajaan HARAPAN tentang perkara ini. Terdapat 13 agensi berkaitan Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Justeru, pemilihan menteri yang bakal mentadbir urusan ini perlu dibuat secara teliti.

Tokoh itu haruslah seorang yang mempunyai latar pengajian pendidikan agama, atau sekiranya tidak sedemikian, mestilah mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengetahuan dan pemikiran Islam.

Dia mestilah seseorang yang mampu menyuntik idea bernas, berkemahiran menyusun atur pentadbiran urusan agama, terbuka kepada kepelbagaian dan perbezaan berkaitan kefahaman agama dan sarat dengan integriti dan kemahiran.

Tidak kurang ramainya warga maya menamakan Nik Omar Nik Abdul Aziz di posisi yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkenaan.

Berasaskan kepada merit, saya menolak nama Nik Omar. Beliau hanya muncul dalam politik Malaysia beberapa minggu lepas sebagai pemidato. Beliau tiada pengalaman sebagai wakil rakyat dan belum pernah mentadbir sebuah parti politik. Belum juga diuji pengetahuan dan kefahamannya tentang pentadbiran dan pengurusan agensi-agensi agama di negara ini.

Jawatan tersebut bukanlah jawatan politik yang boleh diserahkan kepada individu yang hanya berpengaruh dalam kempen pilihan raya, sebagai hadiah kemenangan. HARAPAN perlu menamakan tokoh lain, khususnya daripada Parti Amanah Negara (AMANAH).

Berasaskan kepada direction kerajaan yang mahu mengecilkan saiz kabinet, saya tidak terkejut jika menteri itu nanti diarahkan untuk menyusun semula agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Perahan otak bersama

Saya bersetuju jika ia berasaskan kepada objektif dan penyelarasan fungsi. Kemungkinan besar wujud beberapa agensi yang menjalankan fungsi yang sama atau hampir sama, justeru ia boleh disatukan.

Kemungkinan juga wujudnya agensi-agensi yang berbeza strategi dan pendekatan tetapi berkongsi objektif, juga boleh disatukan.

Idea menyusun semula agensi kerajaan agar setiap satu jelas objektif dan fungsinya akan memberi impak positif kepada kecekapan agensi-agensi itu sendiri, selain menjimatkan kos.

Namun, pegawai kerajaan yang terbabit tidak boleh dikorbankan. Ia bukan kerja mudah.

Terakhir, dalam kemungkinan kementerian kewangan diketuai oleh Lim Guan Eng yang saya percaya tidak memiliki idea asas berkaitan pelaksanaan syariah dalam dunia korporat, saya mengharapkan menteri agama ini nanti memiliki kefahaman yang sangat jelas tentang itu agar dapat membantu dan melakukan ‘perahan otak’ bersama.

Dr Mahathir tiada masalah dalam soal ini. Pada era beliaulah munculnya sistem kewangan Islam secara agresif di Malaysia.

Apa yang saya ingin lontarkan di sini ialah mesti ada usaha berbentuk political will dalam kabinet baru Malaysia ke arah mengukuhkan pengurusan syarikat korporat berkaitan kerajaan (GLC) berasaskan kepada elemen Kerangka Kerja Tadbir Urus Syariah (Shariah Governance Framework).

Ia boleh dilakukan secara berperingkat dan boleh juga diletakkan beberapa kategori yang akhirnya bermatlamat memastikan perjalanan setiap syarikat tersebut selaras dengan prinsip tadbir urus syariah daripada sudut operasi dan pelaburannya.

Ia kerja besar dan memerlukan jadual kerja yang terancang dan pakar-pakar bagi membantu pelaksanaannya. Sebahagian mereka ramai yang ‘berkubu’ dalam sektor kewangan dan pelaburan Islam negara.


OMAR MOHAMED ialah pemerhati politik yang meminati kelab Liverpool dan bekerja dalam sektor kewangan Islam.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.