Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pihak berkuasa S'pura sedia bantu siasatan 1MDB

Pihak berkuasa Singapura bersedia memberi bantuan kepada rakan mereka di Malaysia dalam siasatan ke atas dana negara yang dilanda skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), lapor Channel NewsAsia semalam.

Portal itu memetik satu kenyataan oleh Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) dan Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD).

"Pihak berkuasa Singapura telah bekerjasama secara meluas dengan rakan di Malaysia atas permintaan mereka untuk mendapatkan maklumat berhubung transaksi berkaitan 1MDB dan bersedia sepenuhnya untuk meneruskan bantuan itu," kata agensi terbabit.

Singapura juga telah mengambil tindakan pantas terhadap institusi kewangan serta individu yang melanggar undang-undang negara ini berhubung aliran dana yang berkaitan dengan 1MDB, kata mereka.

Sementara itu, kerajaan Malaysia akan menghubungi beberapa negara untuk mendapatkan semula dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, adalah penting bagi kerajaan untuk mendapatkan kembali wang berkenaan di Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat dan mungkin di Luxembourg, dengan anggaran AS$4.5 bilion di Amerika Syarikat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS