Pemilik Equanimity mahu cabar perintah mahkamah AS
Mahkamah Daerah Pusat California tidak menganalisis secukupnya hujah-hujah yang membantah pemberian hak menjaga kapal layar mewah Equanimity, kata pemilik berdaftarnya, Equanimity (Cayman) Ltd.
"Mahkamah California secara tidak sewajarnya membatalkan keputusan mahkamah Indonesia bahwa penyitaan FBI ke atas kapal layar itu adalah tidak wajar dan tiada asas perundangan.
"Perintah mahkamah itu menimbulkan ketidakadilan dengan undang-undang AS berkaitan penyitaan harta benda di luar negara dan undang-undang Indonesia berkaitan bantuan perundangan kepada negara asing yang mahu merampas aset di Indonesia.
"Perintah mahkamah tidak menganalisis secukupnya kepentingan prinsip undang-undang yang dibangkitkan oleh pihak yag menuntut (pemilik Equanimity) dalam prosiding ini," katanya dalam satu kenyataan malam tadi ekoran keputusan mahkamah pada 15 Mei.
Katanya, ia kecewa tetapi tidak terkejut dengan keputusan itu, dan akan mengambil kesempatan daripada tempoh 30 hari untuk mencabar keputusan itu.
Hakim Dale S Fischer telah, pada 15 Mei, mengeluarkan perintah penjagaan itu, dan meminta penuntut kapal itu untuk menyerahkan kawalan dan hak penjagaan ke atas kapal itu kepada kerajaan AS dan meminta pihak-pihak yang terlibat untuk mencapai persetujuan bagaimana membawanya ke AS.
Dalam penghakiman bertulisnya, beliau berkata ini tidak akan melanggar kedaulatan Indonesia kerana penjagaan atas Equanimity telah dikembalikan kepada pihak yang menuntut dan tidak lagi berada dalam tahanan polis Indonesia, yang telah merampasnya pada 28 Feb.

