Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis terus geledah rumah Najib
Diterbitkan:  May 17, 2018 10:54 AM
Dikemaskini: 5:55 AM

Lebih 12 jam berlalu sejak pasukan polis membuat carian di kediaman peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, malam tadi, nampaknya ia belum berakhir dan masih berterusan.

Beberapa kenderaan polis kelihatan meninggalkan tempat itu, namun beberapa yang lain, termasuk trak Black Maria masih berada di situ ketika pegawai dari jabatan jenayah komersial persekutuan Bukit Aman dipercayai masih berada di rumah Najib.

Antara kenderaan yang dilihat meninggalkannya pada awal hari adalah beberapa kenderaan polis yang tidak bertanda. Dalam sebuah daripadanya, kelihatan seseorang duduk di kerusi penumpang dengan muka bertutup.

Pasukan polis tiba dengan berbelas buah kenderaan kira-kira jam 10.15 malam tadi, diikuti oleh trak Black Maria pada jam 3.50 pagi ini.

Difahamkan kemudiannya bahawa trak itu digunakan untuk mengangkut kotak bukti.

Peguam Najib Harpal Singh Grewal memberitahu pemberita bahawa polis telah merampas beberapa kotak beg tangan, hadiah dan barangan peribadi.

Beliau berpendapat Najib mungkin sedang disiasat berhubung pengubahan wang haram.

Adalah dipercayai bahawa operasi itu berkaitan dengan skandal 1MDB.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi Bernama mengesahkan tindakan polis itu, namun enggan mengulas lanjut.

Seorang lelaki yang mendakwa dirinya rakan Najib menjadi tumpuan apabila tidak dibenarkan masuk oleh polis ketika menghampiri kediaman itu pada 11.20 pagi.

Puluhan media tempatan dan antarabangsa masih 'berkampunǵ di kawasan itu sejak petang semalam bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi berkenaan.

Orang awam turut dilihat memperlahankan kenderaan bagi mengambil dan merakam gambar suasana persekitaran kediaman bekas perdana menteri itu.

Lebih 10 kenderaan polis termasuk trak dilihat tiba di kediaman Najib pada kira-kira 10.15 malam tadi selepas beliau pulang daripada menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung Baru.

Peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal memberitahu pemberita awal pagi ini bahawa beberapa barangan peribadi seperti beg tangan, pakaian serta hadiah dirampas dari kediaman itu.

Beliau berkata Najib dan anggota keluarga beliau memberi kerjasama sepanjang proses pencarian dilaksanakan dan tiada tangkapan dibuat.

Sebuah lagi kediaman peribadi Najib iaitu apartmen mewah di Jalan Raja Chulan turut menjadi lokasi carian polis.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah disenaraihitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini.

Selasa lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1MDB.

Pakatan Harapan yang dipengerusikan Dr Mahathir menumbangkan kerajaan BN pimpinan Najib pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

 

Lihat Komen
ADS