Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan boleh ditukar tanpa perlu tumpah darah
Diterbitkan:  May 17, 2018 11:33 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Malaysia berjaya menunjukkan contoh bagaimana sesebuah kerajaan dapat digantikan tanpa menumpahkan walau setitis darah, kata mufti Perlis.

Menurut Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pertukaran kuasa di negara ini dapat berlangsung sepantas "satu malam" saja.

Menulis ringkas di Facebook Mohd Asri berkata kejayaan pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei lalu juga menunjukkan rakyat Malaysia memiliki tahap tamadun dan sikap yang tinggi.

"PRU Malaysia satu contoh yang baik untuk dunia Islam saksikan.

"Ia juga satu kajian kes untuk pengajian Islam khususnya bagaimana pertukaran kerajaan berlaku tanpa menumpahkan setitis pun darah. Sepantas hanya dalam satu malam," katanya.

Mohd Asri menambah apa yang ditunjukkan rakyat Malaysia pada minggu lalu juga membatalkan andaian sesetengah pihak kononnya Islam mengharamkan kerajaan ditukar atas alasan ia boleh menyebabkan pertumpahan darah.

Lebih malang kata mufti itu ada golongan tertentu yang mentafsir nas secara harfiah (literal) tanpa memahami punca sesuatu itu diharamkan.

"Sarjana fikah dulu mengharamkan penukaran kerajaan berdasarkan pengalaman mereka yang menyaksikan proses berkenaan menyebabkan pertumpahan darah serta kekacauan.

"Bagaimanapun rakyat Malaysia membuktikan sikap yang baik dan demokratik boleh menjadikan proses tersebut aman dan memberikan manfaat kepada rakyat," katanya.

Justeru menurut Mohd Asri kitab-kitab fikah berkaitan politik yang ditulis ilmuan silam perlu dibaca dan difahami mengikut konteks semasa yang mungkin berbeza.

"Bukan semua pandangan sarjana yang lepas sesuai untuk diamalkan di masa kini," katanya.

Lihat Komen
ADS