PAS mahu RCI siasat Pastor Koh, Memali, TBH, Scorpene...
PAS hari ini menggesa beberapa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat pelbagai isu sejajar dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
Ini diumumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan media.
Menurut Tuan Ibrahim, RCI ini perlu menyiasat skandal 1MDB, kematian bekas pembantu politik Teoh Beng Hock, kehilangan pastor Raymond Koh, kejadian Memali, skandal kapal selam Scorpene, dan pemindahan tanah Felda di sepanjang Jalan Semarak , Kuala Lumpur.
“Kerajaan juga harus bertindak mengikut cadangan RCI skandal forex atau membicarakan skandal itu semula agar diketahui segala hujung pangkalnya.
“Penilaian secara adil perlu dilakukan untuk setiap kes tanpa mengira siapa terlibat. Prinsip Rule of Law mesti dijunjung sentiasa.
“Pendakwaan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, dan pengguguran satu-satu dakwaan terhadap mana-mana individu tidak boleh dilakukan mengikut pangkat dan kuasa seseorang. Jika tidak, ia tidak membawa perbezaan daripada sistem kerajaan BN dahulu,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata semua ini perlu dilakukan agar semua kes lama dapat ditutup rapi dan tidak lagi mengganggu perjalanan negara ke masa depan yang lebih mencabar.
Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Suhakam) dilaporkan akan membuka semula siasatannya ke atas Koh, yang bertujuan untuk menyiasat sama ada ia adalah kes kehilangan secara disengajakan.
"Panel dengan ini memutuskan bahawa ia akan meneruskan pendengaran dalam siasatan awam terhadap dakwaan kehilangan Koh, walaupun surat daripada Polis Diraja Malaysia ... adalah supaya menghentikan siasatan awam," kata The Star yang memetik pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai.

