Bekas timbalan menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno masih merupakan parti penting dan relevan kerana ia kekal sebagai parti Melayu-Islam terbesar di Parlimen.

“Umno masih mempunyai 54 kerusi dan didokong lebih 3.5 juta rakyat dalam PRU14. Berbanding Pakatan Harapan yang dikuasai 73 kerusi bukan Islam dan Melayu hanya 41 kerusi mewakili Islam dan Melayu.

“Ini bermakna perjuangan Umno selaku parti utama yang mewakili umat Islam dan Melayu masih penting dan relevan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dimuatkan di laman web Umno semalam.

Beliau berkata ini sebagai peringatan kepada mereka yang kini mempersoalkan masa depan Umno dan sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan perjuangan parti.

Asyraf, yang gagal dalam cubaannya untuk melucutkan calon PAS di Pasir Putih, berkata Umno masih menerajui BN, yang secara keseluruhannya mempunyai 78 kerusi di Parlimen.

“Mungkin Allah mahu Umno kembali kepada falsafah dan asas perjuangannya yang asal sekali gus memperbaiki segala kelemahan dan keburukan lantaran kelekaan dan kelalaian diri sendiri.

“Justeru Umno perlu bangkit daripada kekalahan ini dengan jiwa yang lebih besar demi menjamin hak dan suara rakyat benar-benar dipelihara dan dimartabatkan,” katanya.

Justeru, menurut beliau, Umno perlu bermuhasabah dan tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak susulan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.