Bank Negara buka semula kes 1MDB jika ada maklumat baru
Gabernor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata pihaknya akan membuka semula siasatan berhubung 1MDB sekiranya terdapat maklumat baru berkaitan.
Menurut Muhammad, BNM sebelum ini sudah mengambil semua langkah yang diperlukan di bawah bidang kuasanya terhadap 1MDB termasuklah mendenda syarikat dana milik kerajaan itu.
"Kita sudah menjalankan semua siasatan terhadap 1MDB. Malah, beberapa tindakan yang boleh diambil di bawah undang-undang sudah diambil.
"Yang bukan di bawah bidang kuasa kami, kami sudah serahkan semua maklumat dan data berkaitan kepada pihak berkuasa.
"Kami akan buka semula kes jika ada maklumat atau data baru yang kami tidak tahu sebelum ini, kami tentunya akan meneliti semula memandangkan kita mendapat kerjasama yang lebih baik," katanya dalam sidang media di Bank Negara di Kuala Lumpur hari ini.
Muhammad juga menyatakan keyakinan pihaknya akan mampu mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung 1MDB di bawah pentadbiran kerajaan baru.
Tambahnya, jika sekali lagi maklumat berhubung 1MDB dikumpulkan, BNM akan mampu membuat penilaian jumlah wang yang boleh dibawa balik ke Malaysia.
Menjelaskan langkah-langkah yang sudah diambil BNM berhubung 1MDB, beliau menjelaskan bahawa pihaknya sentiasa mengambil pendekatan objektif berhubung isu berkenaan.
"Kita mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat dan kita sudah memberikan semua maklumat dan data kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut menunjukkan kita mengambil pendekatan objektif terhadap perkara ini," katanya.

