Berita Malaysiakini

Satu lagi gambar Najib ketika polis geledah rumahnya muncul

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketika sepasukan polis masih berada di kediaman bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, Malaysiakini menerima satu lagi gambar di dalam rumah berkenaan.

Menurut sumber yang rapat dengan Najib, gambar berkenaan diambil kira-kira pukul 5 pagi ketika polis sedang menggeledah bilik tidur bekas pengerusi BN itu.

Dalam gambar itu, Najib yang dilihat masih memakai baju Melayu sama yang dipakai ketika berterawih semalam, berdiri sambil menyaksikan polis menjalankan tugas mereka.

Tidak dapat dipastikan sama ada operasi yang melibatkan pegawai polis dari Bukit Aman itu masih berjalan ketika berita ini ditulis.

Semalam, sumber itu mengecam operasi polis berkenaan sebagai tidak wajar dan mendakwa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membalas dendam terhadap Najib.

Dalam sidang media petang ini, Dr Mahathir menafikan masuk campur dalam perkara itu.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN), termasuk naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar mempersoalkan kewajaran melakukan operasi yang bermula sejak semalam dan berlangsung lebih 12 jam.

Kira-kira pukul 4 pagi tadi, peguam Najib, Harpal Sing Grewal berkata pasukan polis merampas tiga hingga empat kotak barangan mengandungi beg tangan, hadiah, dan barang peribadi.

Harpal mendakwa tiada dokumen dirampas.

Harpal juga percaya Najib disiasat berhubung pengubahan wang haram.

Semalam, polis di kediaman itu dalam lebih 10 kereta dan sebuah lori Black Maria.

[Baca berita penuh]