Penumpang lewat ditahan cuba masuk pesawat di Melbourne
GLOBAL Seorang penumpang lelaki yang "bengang" kerana ketinggalan penerbangan berjadualnya telah diberkas di Lapangan Terbang Melbourne pada Khamis selepas cuba memecah masuk ke dalam sebuah pesawat Jetstar Airways, lapor agensi berita China Xinhua.
Insiden itu telah dirakam oleh seorang penumpang yang berada dalam terminal.
Rakaman video menunjukkan suspek memukul serta menarik pintu pesawat tersebut dalam keadaan tergopoh-gapah dan cuba memasukinya.
Menurut media tempatan, lelaki itu terlewat beberapa jam untuk menaiki penerbangan asalnya dan telah bertindak agresif terhadap pekerja Jetstar.
Mereka mendakwa lelaki yang marah itu kemudian telah menolak seorang anggota kru penerbangan sebelum berlari melepasi pintu pagar terminal ke landasan terbang di mana beliau dapat mengakses tangga menuju ke dalam pesawat.
Lelaki itu kemudian diberkas oleh pengendali bagasi sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Dipercayai sekurang-kurangnya dua pekerja Jetstar mengalami kecederaan.
Lelaki itu telah dilarang menaiki mana-mana pesawat Jetstar atau Qantas pada masa akan datang dan akan didakwa.
- Bernama

