Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar kini antara pimpinan tertinggi HARAPAN
Diterbitkan:  May 17, 2018 4:09 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menjadi satu daripada enam watak terpenting dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dalam sidang medianya di Petaling Jaya hari ini Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad berkata majlis presiden gabungan berkenaan bersetuju membentuk satu badan lebih kecil menghimpunkan enam pemimpin utama parti.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi seorang daripada anggota enam pemimpin tertinggi ini, sebelum ini hanya lima," katanya.

Menurut Dr Mahathir badan pimpinan tertinggi itu dianggotai ketua setiap parti dalam HARAPAN.

HARAPAN dibentuk oleh empat parti iaitu PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU.

Anwar dibebaskan daripada penjara melalui pengampunan diraja pada 16 Mei, dan berhak menyertai politik berbanding larangan selama lima tahun untuk mana-mana banduan.

Kata Dr Mahathir anggota badan tertinggi itu akan bertemu lebih kerap dan mengadakan persidangan jika ada sesuatu isu yang perlu diputuskan segera.

"Perkara-perkara dasar pula akan dibawa ke Majlis Presiden HARAPAN yang akan bersidang setiap bulan, kecuali ada keperluan bertemu lebih awal," katanya.

Dr Mahathir juga memberitahu Majlis Presiden HARAPAN mempunyai 22 anggota iaitu lima orang yang mewakili setiap parti dalam gabungan berkenaan.

Dua lagi anggota ialah wakil daripada sayap wanita dan pemuda.

Lihat Komen
ADS