Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HBA sambut baik manifesto HARAPAN mengenai perumahan
Diterbitkan:  May 17, 2018 4:24 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Persatuan Pembeli-pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) menyambut baik manifesto Pakatan Harapan mengenai perumahan mampu milik dan pemilikan rumah yang disifatkannya telah difikirkan dengan baik.

Setiausaha Agungnya Chang Kim Loong berkata jika dilaksanakan dengan betul, ia boleh meningkatkan bekalan perumahan mampu milik.

“HBA melihat manifesto itu dengan keyakinan dan harapan yang tinggi… kami sangat-sangat menyokong manifesto ini,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan Majlis Penasihat Kerajaan bagi memberi taklimat berhubung pandangan mereka tentang agenda perumahan di ibunegara hari ini.

Sebelum memenangi pilihan raya umum ke-14, Pakatan Harapan mengumumkan antaranya mereka akan membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh dua penggal menjadi kerajaan.

Mereka juga mengumumkan pembentukan skim pinjaman perumahan khas untuk belia membeli rumah pertama mereka selain caj penyelenggaraan kawasan perumahan kos rendah akan ditanggung kerajaan.

Pakatan Harapan juga akan menubuhkan Majlis Perumahan Mampu Milik Kebangsaan yang dipengerusikan perdana menteri bagi menyelaras semua usaha yang dijalankan oleh pelbagai agensi berbeza di bawah satu bumbung.

- Bernama

Lihat Komen
ADS