Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Harga barang, perkhidmatan dijangka turun - Bank Negara
Diterbitkan:  May 17, 2018 5:16 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Harga barang dan perkhidmatan dijangkakan turun susulan pengumuman kerajaan baharu mengenai penetapan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus berkuat kuasa 1 Jun, 2018, menurut Bank Negara Malaysia (BNM)

Gabenor, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata penting bagi semua pihak berkuasa berkaitan memastikan perniagaan memberi manfaat kepada rakyat secara meluas.

“Kemungkinan besar ia tidak akan memberi kesan ke atas inflasi bagaimanapun masih terlalu awal untuk kita menilai (kadar inflasi) ketika ini.

“Inflasi bagi suku pertama (tahun ini) telah dijangkakan pada antara dua dan tiga peratus, namun berdasarkan pengumuman itu, kita akan menelitinya kembali (bagi tempoh suku seterusnya).

“Jika perlu, kita akan menyemak semula kadar tersebut,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2018 di sini, hari ini.

Mengenai dasar monetari, beliau berkata BNM sentiasa melihat kadar inflasi berasaskan keutamaannya.

Bagi kesan dasar monetari ke atas KDNK, beliau berkata BNM akan menunggu inisiatif yang dibincangkan Majlis Penasihat Kerajaan untuk menilai sama ada perlu mengubah unjuran 5.6 peratus​​​​​​​ hingga 6.0 peratus tahun ini atau sebaliknya, dan akan mengumumkan perkara itu bersama-sama Kementerian Kewangan.

Muhammad berkata bank pusat juga akan menilai punca tekanan defisit fiskal dan implikasi​​​​​​ ​pelbagai inisiatif selepas kesemua itu diumumkan dan akan menyelaraskan dasar monetari sewajarnya.

“Bagi dasar monetari pula, ia akan sentiasa akomodatif bagi tujuan mengembangkan trajektori dan kestabilan harga serta mengambil kira aspek fiskal,” katanya.

Selain itu, beliau berkata ringgit kekal stabil walaupun berlaku perubahan kerajaan baru-baru ini, melangkah ke hadapan, ia dijangka terus mencerminkan asas-asas ekonomi.

“Akan wujud banyak gangguan dalam jangka pendek yang akan menjejaskan ringgit tetapi bagi​​​​​​​ jangka sederhana dan panjang, ringgit akan menyesuai untuk menunjukkan asas-asas ekonomi,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun BNM akan menyediakan mudah tunai diperlukan kepada pasaran sekiranya​​​​​​​ berlaku peningkatan mendadak dalam pasaran mata wang.

Keseluruhan tujuan campur tangan itu, katanya, adalah untuk memastikan pasaran dapat menyesuai dengan pasaran secara lancar, katanya.

Beliau berkata ringgit bergerak di bawah paras 4.0 berbanding dolar Amerika Syarikat daripada​​​​​​​ melebihi 4.0 setahun​​​​​​​ lepas, sekali gus menunjukkan ia menjejaki asas-asas ekonomi.

“Ini membuktikan asas-asas ekonomi kita kekal tidak terjejas dan akan kekal sedemikian pada masa depan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS