Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SKMM, telco perlu jelas sekatan web M'kini siar keputusan PRU14
Diterbitkan:  May 17, 2018 5:20 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa Telekom Malaysia (TM), Maxis dan pihak berkuasa menjelaskan laporan yang mendakwa laman web keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 undi.info.live disekat pada hari mengundi.

Menurutnya, dakwaan berkenaan merupakan perkara serius dan syarikat serta pihak berkuasa yang didakwa terlibat perlu menjelaskan sama ada laporan itu benar.

"Sekiranya benar, mereka perlu segera mendedahkan atas arahan siapa mereka bertindak seperti itu.

"Tindakan seperti itu terhadap organisasi media tidak seharusnya terjadi lagi di negara ini," kata Nik Nazmi yang juga merupakan anggota parlimen Setiawangsa dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, kumpulan peguam, Lawyers For Liberty (LFL) menyatakan hal sama dan menggesa TM dan Maxis memberi penjelasan berhubung laporan itu.

"Sekiranya perkara ini benar, TM dan Maxis perlu jelaskan kepada orang awam kenapa mereka bersubahat untuk menapis fakta pemberitaan daripada Malaysiakini, dan sama ada ia dilakukan atas arahan kerajaan sebelum ini.

"Ini jelas merupakan penyalahgunaan kuasa terhadap tanggungjawab mereka sebagai penyedia jalur lebar, dan merupakan peringatan terhadap pembaharuan yang perlu dilakukan, termasuk pemisahan kepentingan kerajaan dan perniagaan.

"Kami mengingatkan SKMM sebagai badan yang memantau komunikasi dan multimedia elektronik. mereka perlu menggunakan kuasa mereka dengan lebih bertanggungjawab dan tidak terpengaruh dengan pertimbangan politik yang melanggar undang-undang seperti yang terjadi dalam kerajaan sebelum ini," kata Pengarah Eksekutif LFL Eric Paulsen dalam kenyataan berasingan.

Eric turut menggesa SKMM menarik semula sekatan yang dikenakan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Ini termasuklah terhadap laman web Sarawak Report, The Malaysian Insider yang kini sudah tidak beroperasi, portal berita Asia Sentinel, laman web Malaysia Chronicle, serta pelbagai blog lain.

Semalam, badan ketelusan digital Sinar Project menyiarkan dapatan mereka selepas memantau PRU ke-14 berhubung penapisan atas talian.

Laporan itu mendakwa terdapat tanda sekatan atas talian bermula pukul 9.55 malam pada hari mengundi 9 Mei. Sekatan itu berlangsung untuk beberapa jam.

Secara spseifiknya, laporan itu menjelaskan bahawa pengguna yang ingin mengakses laman web keputusan undi Malaysiakini iaitu undi.info.live akan dihantar ke paparan notis lazim yang menunjukkan laman web berkenaan disekat.

Ketika dihubungi, TM memberitahu Malaysiakini bahawa persoalan berhubung kandungan sekatan perlu diajukan kepada SKMM.

Malaysiakini sudah menghubungi SKMM dan Maxis dan sedang menunggu jawapan mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS