Berita Malaysiakini

Firma guaman tarik diri wakili 1MDB dalam saman libatkan Rosmah

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Firma guaman yang mewakili 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di dalam saman bekas Ketua Bahagian Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor memulangkan set rantai leher termasuk berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27.3 juta yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB, telah menarik diri daripada mewakili 1MDB.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili 1MDB memberitahu wartawan bahawa firma guaman itu, Tan Hock Chuan & Co telah memohon untuk menarik diri daripada mewakili syarikat itu kerana mereka tidak mendapat arahan daripada 1MDB.

“Mahkamah membenarkan permohonan kami... pada masa ini 1MDB tidak mempunyai peguam, tetapi kami akan memaklumkan syarikat berkenaan,” katanya kepada wartawan selepas bertemu dengan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam kamar hari ini.

Sementara itu peguam Damien Chan yang mewakili Khairuddin berkata mahkamah telah menangguhkan pendengaran yang dipohon defendan, Rosmah, Low Taek Jho atau Jho Lo dan 1MDB untuk membatalkan saman Khairuddin, ke 21 Jun untuk pengurusan kes bagi pihak terlibat mengemas kini status masing-masing,

Pada hari ini mahkamah dijadualkan mendengar permohonan daripada tiga defendan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Khairuddin terhadap mereka.

Defendan-defendah memfailkan permohonan itu pada 7 Sept 2017, dengan alasan Khairudin tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman terhadap mereka.

Khairuddin memfailkan saman pada 16 Ogos 2017 dan mendakwa antara Jun 2013 hingga Mac 2014, Jho Low menerusi ejennya telah membeli set barang kemas itu daripada peniaga barang kemas, New York Lorraine dengan nilai AS$27.3 juta. Beliau mendakwa wang yang digunakan diambil daripada 1MDB.

Khairuddin seterusnya mendakwa barang kemas berkenaan, dalam bentuk berlian berwarna merah jambu bernilai AS$23 juta dan rantai leher bernilai AS$4.3 juta, diterima Rosmah sebagai hadiah pada Mac 2014.

Oleh demikian, beliau memohon mendapatkan perintah mahkamah agar Rosmah mengembalikan barang kemas berkenaan kepada 1MDB dan Jho Low membayar jumlah wang yang didakwa diambil daripada 1MDB, di samping ganti rugi, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

- Bernama