Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Black Maria beredar dari banglo Najib dengan kotak biru

Selepas 18 jam menggeledah banglo kediaman peribadi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, petang tadi trak Black Maria polis beredar dengan membawa  kotak berwarna biru gelap berserta seorang lelaki yang tidak dikenali.

Lelaki berkenaan duduk di bahagian belakang trak yang lazimnya mengangkut tahanan ke penjara atau mahkamah bersama seorang anggota polis.

Walaupun diajukan soalan berulang kali, lelaki yang tidak digari itu enggan mengenal dirinya kepada media.

Kenderaan Black Maria itu diiringi oleh dua anggota polis bermotosikal dan sebuah kereta peronda  polis. Malaysiakini tidak dapat memastikan hala tuju kenderaan itu yang beredar dalam keadaan hujan lebat.

Walau bagaimanapun, wartawan kami difahamkan masih terdapat anggota polis yang berada di rumah bekas presiden Umno itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh sebelum ini mengesahkan tindakan polis itu, namun enggan mengulas lanjut.

Puluhan media tempatan dan antarabangsa masih 'berkampunǵ di kawasan itu sejak petang semalam bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi berkenaan.

Orang awam turut dilihat memperlahankan kenderaan bagi mengambil dan merakam gambar suasana persekitaran kediaman bekas perdana menteri itu.

Sejak semalam, lebih 10 kenderaan polis termasuk trak dilihat tiba di kediaman Najib pada kira-kira 10.15 malam tadi selepas beliau pulang daripada menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung Baru.

Peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal memberitahu pemberita awal pagi ini bahawa beberapa barangan peribadi seperti beg tangan, pakaian serta hadiah dirampas dari kediaman itu.

Beliau berkata Najib dan anggota keluarga beliau memberi kerjasama sepanjang proses pencarian dilaksanakan dan tiada tangkapan dibuat.

Sebuah lagi kediaman peribadi Najib iaitu apartmen mewah di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur turut menjadi lokasi serbuan polis.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah disenaraihitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan, hari ini berkata pihak polis mempunyai alasan untuk menyerbu banglo Najib dan berkata proses itu adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard polis.

Di pihaknya, Mahathir berkata beliau tidak ada mahu polis "menyeksakan" mana-mana orang dan bahawa semua kes perlu disiasat mengikut undang-undang.

Selasa lalu, Dr Mahathir berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1MDB.

Pakatan Harapan yang dipengerusikan Dr Mahathir menumbangkan kerajaan BN pimpinan Najib pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Lihat Komen
ADS