Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO Switzerland sedia kongsi bukti dakwaan rasuah Taib
Diterbitkan:  May 17, 2018 6:20 PM
Dikemaskini: 3:47 PM

Bruno Manser Fund bersedia berkongsi dengan kerajaan buktik berhubung dakwaan aktiviti rasuah bekas ketua menteri Sarawak Tun Taib Mahmud.

Dalam kenyataan hari ini, pengarah eksekutif NGO Switzerland itu Lukas Straumann berkata pihaknya berharap SPRM dan Pejabat Peguam Negara akan membuka semula kes berhubung dakwaan terhadap Taib.

"Bruno Manser Fund sedia berkongsi dengan kerajaan baru Malaysia hasil proses pengumpulan bukti selama tujuh tahun berhubung dakwaan amalan rasuah Taib.

"Siasatan perlu bertumpu ke atas dakwaan peruntukan tanah kepada keluarga Taib dan kekayaan luar negara Taib yang tidak dapat dijelaskan," kata Straumann.

Straumann merujuk kenyataan terbaru Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar pihak yang mempunyai bukti berhubung rasuah di Sarawak tampil menunjukkan bukti berkenaan agar pihak berkuasa dapat bertindak.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Badan Hak Asasi Manusia (Hakam) Ambiga Sreenevasan yang berkata kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu menyiasat Taib berhubung dakwaan rasuah di Sarawak selama 33 tahun mentadbir negeri itu.

Taib didakwa oleh kumpulan pencinta alam sekitar antarabangsa dengan tuduhan memanipulasi sumber alam Sarawak termasuk pembalakan berleluasa yang dikatakan telah menjarah sebahagian besar kawasan hutan negeri itu.

Taib juga dispekulasikan sebagai antara individu terkaya dengan kepentingan perniagaan dalam pelbagai industri dalam dan luar negara.

Perjumpaan Taib dengan Dr Mahathir Jumaat lalu, selepas pengerusi HARAPAN itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, menimbulkan spekulasi bahawa parti diterajui Taib, PBB, mengkaji semula kedudukannya dalam BN.

Straumann juga mengingatkan bahawa surat yang ditulis oleh organisasinya dengan kerjasama NGO antarabangsa lain pada Disember 2011 masih belum dijawab oleh kerajaan Malaysia.

Surat berkenaan menggesa agar Taib ditahan dan didakwa kerana "bersubahat dengan ahli keluarganya mencuri aset dan tanah Sarawak".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS