Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad persoal jika kes rasuah Guan Eng akan digugurkan
Diterbitkan:  May 17, 2018 8:51 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi mempersoalkan sama ada kes rasuah terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan digugurkan selepas beliau mengangkat sumpah sebagai menteri kewangan.

Dalam satu kenyataan, bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu berkata Guan Eng akan mengangkat sumpah bagi jawatan itu pada Isnin depan, yang sama tarikh dengan perbicaraan kes rasuah terhadapnya.

"Tetapi oleh kerana anggota Kabinet ini akan mengangkat sumpah pada hari Isnin hadapan, maka apakah itu bermakna kes rasuah Lim Guan Eng akan digugurkan?

"Apatah lagi Isnin adalah hari di mana kes perbicaraan Guan Eng sepatutnya disambung kembali," soalnya dalam satu kenyataan media.

Menurut Puad, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata nama Guan Eng hanyalah cadangan kerana masih belum mengangkat sumpah.

Justeru katanya, ramai pihak mengandaikan pelantikan itu sebagai kes terlepas pandang dan mungin namanya akan digugurkan.

Bagaimanapun kata Puad, Mahathir masih mengekalkan Guan Eng sebagai menteri kewangan selepas mesyuarat majlis presiden HARAPAN hari ini.

Lim sekarang menghadapi tuduhan rasuah melibatkan pembelian banglo di Jalan Pinhorn di Pulau Pinang, dengan harga di bawah nilai pasaran.

Mengulas lanjut, Puad berkata tindakan mengekalkan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan bakal memberikan signal yang pelbagai.

"Antaranya apakah soal integriti diketepikan?" soalnya.

Lihat Komen
ADS