Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga beradik maut ditetak dalam kejadian amuk

Tiga kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun maut selepas ditetak seorang lelaki dipercayai menghidap sakit mental yang mengamuk di Kampung Sungai Haji Muhammad di Rungkup di Bagan Datuk petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu turut mengakibatkan empat lagi parah, termasuk ibu dan kakak sulung ketiga-tiga mangsa, serta dua pelajar sekolah, bagaimanapun identiti mereka masih belum dikenal pasti.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Yahya Abd Rahman berkata lelaki terbabit telah menceroboh rumah keluarga berkenaan dengan bersenjatakan parang lalu melibas ketiga-tiga beradik itu hingga mengakibatkan kematian manakala ibu mangsa cedera parah.

Jelas beliau selepas kejadian itu, suspek telah menghala ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Mohamad dan menetak dua pelajar sekolah serta seorang orang awam yang masih belum dikenali pasti identiti mereka.

Beliau berkata polis berjaya menahan suspek hasil maklumat orang awam dan telah merampas senjata digunakan suspek. Semua mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan.

"Siasatan masih berjalan dan setakat ini polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, lelaki dikenali Rambo itu dimaklumkan baharu sahaja pulang ke kampung berkenaan selepas merantau.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS