Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti: Jangan ulang 'Islam kosmetik' pentadbiran lalu
Diterbitkan:  May 18, 2018 12:30 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

ULASAN | Serentak dengan hasrat YAB PM Tun Mahathir Mohammad yang mahu pendekatan Islam yang sebenar, maka Pihak Kerajaan PH perlu menumpukan pendekatan Islam yang bersifat maqasid (intipati tujuan syariat) yang sebenar, bukan sekadar bersifat kosmetik semata bagi menarik sokongan awam. Jangan diulangi seperti pentadbiran yang lepas.

Dalam pengalaman kerajaan yang lepas, seringkali slogan Islam telah disalahgunakan oleh banyak pihak dalam memberikan solekan terhadap banyak salah tadbir urus dan penyelewengan kuasa dan harta. Umat Islam ramai yang terperangkap menerima ataupun tidak menganggap besar korupsi dan salah tadbir urus kerana mereka dikelirukan oleh kosmetik yang berjenama Islam. Hal ini perlu dibaiki oleh kita semua.

Ini bermaksud, pendekatan yang terlalu menumpukan kepada penampilan yang ‘kelihatan Islam’ ataupun diberikan ‘jenama Islam’ hendaklah digantikan dengan menekankan tujuan sesuatu program ataupun perlaksanaan Islam itu. Apakah yang sebenarnya Islam mahu daripada manusia ini dalam kehidupan bernegara?

Seringkali istilah menegakkan hukum Allah telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak apabila mereka membicarakan tentang penegakan Islam dalam kerajaan. Mereka mementingkan perkara tempelan atau kosmetik seperti pemimpin itu dari kalangan golongan agamawan, berbicara dengan bahasa ‘ahli agama’, menampilkan yang kelihatan ‘Islamik’, menghadiri majlis-majlis ceramah dan selawat, memberikan bantuan kepada program-program agama dan seumpamanya. Sementara membina integriti dan tadbir urus yang baik tidak mereka rasa sebagai penegakan ajaran Islam. Mereka tidak merasakan usaha menghapuskan rasuah itu sebagai menegakkan syariah. Mereka tidak merasakan perjuangan membina urus tadbir yang baik sebagai perjuangan Islam. Padahal kesemua itu ditegaskan oleh al-Quran dan Hadis yang sahih.

Akhirnya, mereka memerangkap umat Islam dengan slogan menegak syariat Islam dalam maksud memberi ruang kepada golongan berjenama Islam menguasai kerusi politik. Pemikiran seperti ini mestilah diubah oleh kerajaan baru.

Hasil dari pendekatan yang salah itu, terdapat golongan berjenama agama sanggup bersekongkol dengan penyalahgunaan kuasa, harta awam dan pentadbiran yang buruk asalnya golongan pemerintah menonjolkan penampilan agama dengan istilah-istilah Arab dan bantuan-bantuan tertentu yang kelihatan ada kaitan dengan agama. Mereka tidak merasa bersalah seseorang pemimpin itu mengambil harta awam dan mengurus tadbir negara secara salah selagi mana dia bercakap ingin membela dan menegakkan Islam. Bahkan mereka membela kesalahan itu dan menganggap itu sebagai pembelaan terhadap Islam. Apakah Islam yang hendak ditegakkan itu? Itulah pendekatan yang menekankan kosmetik Islam (cosmetic adjustments), bukan intipati Islam yang sebenar.

Sebenarnya, apa yang Islam mahu dalam urus tadbir negara ialah pentadbiran yang berteraskan al-quwwah dan al-amanah ataupun efficiency and accountability. Jika sesiapa sahaja mampu mencapai pengurusan yang amanah dan cekap dalam erti kata yang Islam kehendaki, maka dia telah menunaikan maksud dan tujuan pentadbiran politik dalam Islam sekalipun tidak diberikan jenama Islam.

Firman Allah: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qasas:26).

Adapun reka bentuk kerajaan dan pendekatan yang hendak diambil dalam mencapai maksud amanah dan cekap itu, Islam tidak menetapkan perinciannya. Asalkan ia adil, tidak zalim atau tidak menyanggahi prinsip-prinsip umum Islam maka apa sahaja pendekatan dan cara boleh diambil. Para sarjana seperti al-Imam Ibn Qayyim dan lain-lain telah menegaskan prinsip ini, iaitu di mana ada keadilan di situlah adanya politik Islam.

Islam tidak pernah menetapkan pemimpin itu mesti bergelar ulama, ataupun mullah ataupun ustaz. Tidak pula mesti berjubah dan berkopiah. Tidak pula ditentukan mesti nama-nama negeri, kampung, bangunan, pejabat atau slogan ditukar kepada istilah-istilah arab. Jika ulama dilihat mampu membawa kepada ketelusan dan kecekapan pentadbiran maka mereka boleh dilantik. Jika selain ulama lebih mampu, mereka patut dilantik.

Apa yang al-Quran tegaskan (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa' ayat 58).

Wacana Islam yang seperti inilah yang wajar diangkat oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan hari ini. Media dan program agama sepatutnya menekan persoalan ini. Wacana agama pihak pemerintah ialah wacana pentadbiran. Umat Islam menjadi lemah dan dipandang hina bukan kerana kerana mereka kekurangan kopiah dan jubah. Tidak juga kerana kekurangan wang hendak menunaikan haji dan umrah. Tidak juga kerana kekurangan istilah-istilah yang kelihatan Islamik. Namun, kelemahan umat Islam hari ini ialah disebabkan kelemahan urus tadbir yang baik (good governance) dan korupsi yang membawa kepada kemunduran dan kelembapan dalam mengatasi percaturan dunia.

Pengurusan tadbir urus pembangunan Islam dalam kerajaan baharu perlu mengambil kira persoalan ini. Inilah perkara yang patut diwacanakan dalam TV, radio, jabatan dan kementerian.

Saya akan menyebut lagi beberapa perkara lain yang saya percaya wajar pihak kerajaan Pakatan Harapan fokus dalam pendekatan Islam mereka.


DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah mufti Perlis.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS