Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
FGV sokong tiada campur tangan politik dalam GLC
Diterbitkan:  May 18, 2018 2:43 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) hari ini menyatakan sokongan terhadap pentadbiran kerajaan baharu yang memberi kebebasan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tanpa campur tangan politik.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zakaria Arshad berkata, jaminan itu dinyatakan sendiri oleh Majlis Penasihat Kerajaan dalam satu pertemuan dengan kumpulan itu dan beberapa pihak lain hari ini.

“Kita telah diberi jaminan (oleh Majlis Penasihat) bahawa tiada lagi campur tangan pihak politik selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada Majlis Penasihat itu berhubung operasi dan pentadbiran kumpulan itu.

Turut hadir memberi taklimat adalah Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, bekas Pengarah Urusan Felda Datuk Hanapi Suhada, Pengerusi Felda Investment Corporation Sdn Bhd Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Bhd Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Ditanya mengenai penglibatan bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Zakaria bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut.

Mengulas topik perbincangan dengan Majlis Penasihat itu yang turut melibatkan beberapa orang pakar dalam bidang kelapa sawit, beliau berkata pelbagai isu telah dibincangkan bersama termasuk pertanian, minyak sawit mentah dan operasi kumpulan itu secara amnya.

Isu lain yang turut disentuh adalah mengenai pembelian saham dalam PT Eagle High Plantantions Indonesia.

“Pihak Majlis bertanyakan secara terperinci mengenai sejarah (pelbagai) perkara yang dibincangkan itu... apa dan kenapa ia berlaku.

“Saya turut memberi penjelasan mengenai pembelian aset, kenapa ia dibeli serta latar belakang pembelian aset tersebut,” katanya.

Zakaria berkata, hasil daripada perbincangan tersebut, FGV turut menerima beberapa cadangan positif daripada Majlis Penasihat untuk meningkatkan prestasi kumpulan termasuk dari segi tadbir urus dan hasil pulangannya.

“Cadangan-cadangan yang diberikan memang bagus tetapi saya perlu maklumkan kepada pihak Lembaga Pengarah terlebih dahulu (sebelum mengambil sebarang keputusan),” katanya.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan FGV bakal dipanggil semula oleh Majlis Penasihat tersebut jika wujud keperluan untuk berbuat demikian.

Beliau juga berharap segala urusan yang melibatkan Majlis Penasihat itu dapat di selesaikan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS